Sabtu, 20 Januari 2018 | 7:15pm

Pentadbiran AS tidak berfungsi

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat tidak berfungsi hari ini selepas Presiden Donald Trump dan Kongres gagal mencapai persetujuan mengenai dana bagi beberapa agensi persekutuan, yang menonjolkan perpecahan politik mendalam negara itu.

Buat kali pertama sejak Oktober 2013, apabila kebuntuan sama yang berlanjutan selama 16 hari meninggalkan cuma agensi penting beroperasi, pekerja awam diminta berada di rumah atau dalam beberapa kes bekerja tanpa gaji sehingga dana baru diluluskan.

Kebuntuan itu bermula setahun sehingga hari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai presiden.

Ketidakupayaan beliau mendapatkan persetujuan walaupun Republican mempunyai majoriti dalam kedua-dua dewan di Kongres menunjukkan kelemahan paling teruk dalam pentadbirannya yang dilanda krisis.

Parti Democrat menegaskan sebarang rang memperbaharui dana kerajaan juga mengandungi perlindungan kekal bagi 700,000 pendatang muda yang tiada dokumen, yang dibawa masuk secara tidak sah ke AS ketika kanak-kanak.

Minggu lalu, Trump menolak persetujuan kedua-dua parti di Senat yang akan menyelesaikan selain menyerahkan AS$2.7 bilion (RM10.6 bilion) kepada Rumah Putih bagi penguat kuasaan imigresen di sempadan AS.

Beberapa minit sebelum tarikh akhir perjanjian dana itu malam semalam, Rumah Putih mengeluarkan kenyataan menyalahkan Democrat kerana kerajaan tidak dapat berfungsi.

"Kami tidak akan berunding mengenai status pendatang tanpa izin manakala Democrat menjadikan penduduk sah sebagai tebusan berhubung tuntutan melulus mereka," kata kenyataan. - Reuters

276 dibaca
Berita Harian X