Sabtu, 30 Disember 2017 | 9:05am
ORANG ramai melihat tempat kejadian di bangunan pangsapuri 25 unit berhampiran Zoo Bronx di New York City. - Foto AFP

Budak lelaki punca kebakaran di New York

NEW YORK: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang bermain dengan dapur memasak, secara tidak sengaja menyalakan api hingga menyebabkan kebakaran, di sebuah bangunan apartmen di sini.

Kejadian itu menyebabkan 12 orang terbunuh termasuk empat kanak-kanak, kata ketua jabatan bomba semalam.

Kebakaran berlaku pada petang Khamis di bangunan pangsapuri 25 unit berhampiran Zoo Bronx, antara tarikan pelancongan paling popular di Amerika Syarikat (AS) itu.

Empat masih kritikal akibat kebakaran yang disifatkan Datuk Bandar, Bill de Blasio sebagai 'tragedi kebakaran terburuk di bandar ini sejak suku abad lalu.'

"Kami mendapati api bermula dari dapur di tingkat pertama," kata Pesuruhjaya Bomba, Daniel Nigro kepada wartawan.

"Ia berpunca dari seorang budak lelaki berusia tiga setengah tahun yang bermain dengan dapur memasak. Ibunya tidak menyedari kebakaran bermula dan hanya tersedar selepas budak itu menjerit".

Ibu itu kemudian lari keluar dari kediaman bersama dua anaknya, dengan pintu terbuka menyebabkan api mula merebak ke tangga dan seluruh bangunan.

"Tangga itu seolah berfungsi seperti cerobong. Api merebak dengan pantas ke tingkat atas menyebabkan kebanyakan mangsa tidak sempat untuk bertindak," kata Nigro.

Lima maut di tempat kejadian manakala tujuh lagi meninggal dunia di hospital tempatan. - AFP

14 dibaca
Berita Harian X