Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:45am
DONALD Trump

Trump puji Korea Utara

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memuji pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, atas keputusan bijak tidak membedil peluru berpandu ke arah wilayah AS di Guam, sekali gus mengendurkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Korea Utara tidak menyembunyikan pelan membangunkan senjata nuklear yang mampu menyerang AS untuk menangani apa yang disifatkan ancaman pencerobohan kerap dikeluarkan Washington.

Minggu lalu, Trump memberi amaran Pyongyang berdepan api kemarahan jika mengancam AS yang dengan sendirinya memaksa Korea Utara menegaskan ia merancang serangan peluru berpandu ke arah Guam.

Bagaimanapun, media Korea Utara kelmarin melaporkan Jong-un menangguhkan keputusan sementara menantikan tindakan AS seterusnya.

"Kim (Jong-un) membuat keputusan amat bijak dan baik. Alternatif lain adalah malapetaka dan tidak boleh diterima," katanya menerusi Twitter.

Ancaman Korea Utara untuk menghantar peluru berpandu ke laut berhampiran Guam memaksa Trump menegaskan tentera AS sudah bersedia jika Pyongyang bertindak bodoh.

Korea Utara sudah lama tidak mengendahkan amaran barat dan sekutunya, China, bagi menggantung ujian nuklear dan peluru berpandu yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Reuters

Berita Harian X