Jumaat, 25 Oktober 2019 | 5:03pm
Penyokong Jawar Mohammed, ahli kumpulan etnik Oromo yang menjadi pengkritik awam Abiy Ahmed, berkumpul di luar rumahnya di ibukota Ethiopia, Addis Ababa setelah dia menuduh pasukan keselamatan berusaha untuk mengatur serangan terhadapnya. - Foto AFP

16 maut dalam keganasan di Habsyah

ADDIS ABABA: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam keganasan di Habsyah minggu ini yang bermula dengan bantahan terhadap Perdana Menteri dan penerima Anugerah Keamanan, Abiy Ahmed.

“Sehingga kini kami mengesahkan seramai 16 orang terbunuh, tetapi bilangannya lebih dari itu kerana terdapat laporan baharu yang kami tidak boleh mengesahkannya,” kata penyelidik dari Amnesty International, Fisseha Tekle memberitahu AFP.

Katanya, keganasan itu termasuk insiden pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke atas perusuh, tetapi ia semakin meningkat akibat perbalahan etnik dan agama.

“Beberapa daripada mereka terbunuh akibat dipukul, ditetak dengan parang selain rumah dibakar. Orang ramai menggunakan senjata api dan melawan antara satu sama lain

“Setakat ini tiada maklumat terbaru apa yang terjadi semasa malam itu, tetapi ia tiada tanda untuk reda,” katanya.

Keganasan yang meletus di Addis Ababa, ibu kota dan di wilayah Oromia selepas aktivis berprofil tinggi, Jawar Mohammed mendakwa pasukan keselamatan cuba mengatur serangan terhadapnya.

Beliau adalah bekas sekutu dan anggota kumpulan etnik Oromo yang baru-baru ini menjadi pengkritik kepada beberapa dasar Abiy.-AFP.

Berita Harian X