Jumaat, 27 September 2019 | 6:24pm

300 mangsa 'dirantai' kebanyakan kanak-kanak diselamatkan

KADUNA: Polis berjaya menyelamatkan lebih 300 mangsa, kebanyakannya kanak-kanak yang dirantai di dalam sebuah bangunan di Kaduna, bandar di utara Nigeria.

Jurucakap polis berkata, kebanyakan daripada kanak-kanak terbabit diikat dengan rantai besi pada pergelangan kaki mereka.

Katanya, bangunan itu turut menempatkan sebuah sekolah pendidikan Islam dan pihaknya berjaya menahan tujuh individu.

“Kerajaan negeri menyediakan makanan kepada kanak-kanak berusia antara lima tahun dan ke atas.

“Kita juga sudah mengenalpasti dua daripada kanak-kanak itu yang berasal dari Burkina Faso, manakala kebanyakan mangsa lain dihantar oleh ibu bapa mereka dari beberapa negeri di utara Nigeria,” kata jurucakap polis Kaduna, Yakubu Sabo.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan adalah guru di sekolah itu.

Sekolah pendidikan Islam yang dikenali sebagai Almajiris banyak diwujudkan di kawasan majoriti Muslim di utara Nigeria. - Reuters

Berita Harian X