Jumaat, 27 September 2019 | 10:59am
PUTERA Harry dan Meghan

Harry ulang jejak ibu lawat padang periuk api di Angola

JOHANNESBURG: Putera Harry, hari ini melawat kawasan dipenuhi periuk api sebelum ini di Angola yang pernah dipaparkan dalam beberapa gambar ibunya, mendiang Puteri Diana, yang berkempen supaya mengharamkan periuk api.

Harry, isterinya, Meghan dan anak mereka, Archie, empat bulan tiba di Afrika Selatan Isnin lalu untuk lawatan ke selatan Afrika, kunjungan ke luar negara pertama sebagai keluarga.

Kedatangan mereka mengundang ramai penduduk keluar beramai-ramai pada kunjungan pertama selama tiga hari di Cape Town, melawat pertubuhan bukan kerajaan yang bekerja dengan komuniti terabai dan beliau dan bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Desmond Tutu.

Ketika Meghan dan Archie tinggal di Afrika Selatan, Harry menuju ke Bostwana semalam, dan memberi amaran dunia sudah kehilangan masa dan tiada siapa boleh menafikan sains dalam ucapannya mengenai perubahan suhu.

Hari ini, beliau melawat padang yang sudah bebas daripada periuk api di luar Dirico, pekan di wilayah Cuando Cubango di Angola, dan dijangka memusnahkan periuk api secara kawalan jauh dan bertemu anggota komuniti.

Harry juga mengunjungi Huambo untuk melawat kawasan pernah dikunjungi Diana dan menjadi padang periuk api bahaya pada 1997 tetapi kini sudah membangun.

Gambar Diana memakai alat perlindungan ketika berjalan di celah papan tanda tengkorak merah dan tulang bersilang di Huambo menjadi publisiti untuk pertubuhan kebajikan Britain, HALO Trust, yang membersihkan sisa periuk api ketika perang saudara Angola. — Reuters

Berita Harian X