Jumaat, 20 September 2019 | 7:46am
ZINE El-Abidine Ben Ali

Ben Ali meninggal dunia di Arab Saudi

TUNIS: Bekas Presiden Tunisia, Zine El-Abidine Ben Ali, yang ditumbangkan dalam kebangkitan Arab Spring, meninggal dunia semalam di Arab Saudi.

“Kami mengesahkan kematian beliau 30 minit lalu,” kata Kementerian Luar Tunisia, tanpa memberikan butiran lanjut.

Peguam pemimpin berusia 83 tahun itu, Mounir Ben Salha, mengesahkan berita berkenaan, merujuk kenyataan anggota keluarga dan doktor Ben Ali.

Ben Ali, yang memerintah negara di Afrikan Utara itu sejak 1987 hingga 2011, dilihat sebahagian pihak sebagai benteng menentang ekstremisme, tetapi berhadapan kritikan kerana menyekat pembangkang dan keengganannya mengamalkan demokrasi.

Akhirnya, kekecewaan rakyat berhubung pengangguran dan harga tinggi mencetuskan kebangkitan rakyat.

Pada lewat 2010, seorang pemuda meninggal dunia selepas membakar diri, menyebabkan bantahan berlaku di seluruh negara yang mencetuskan kezaliman.

Ben Ali meninggalkan Tunisia pada 14 Januari 2010 dan hidup dalam buangan di Arab Saudi.

Tindakan pantas Ben Ali mencetuskan kebangkitan serupa di seluruh rantau berkenaan, yang membawa kepada kejatuhan presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Ia juga pencetus kepada perang selama lapan tahun paling dahsyat di Syria.

Pada pertengahan 2012, Ben Ali dijatuhkan hukuman tanpa hadir penjara seumur hidup kerana kematian penunjuk perasaan ketika kebangkitan menentangnya.

Ben Ali meninggalkan enam anak, tiga anak perempuan hasil perkahwinan pertama dan dua anak perempuan dan seorang lelaki hasil perkongsian hidup dengan Leila Trabelsi. — Agensi

Berita Harian X