Isnin, 9 September 2019 | 8:13am

29 maut dua serangan berasingan di Burkina Faso

OUAGADOUGOU (BURKINA FASO) : Sekurang-kurangnya 29 orang maut di kawasan bergolak, utara Burkina Faso apabila sebuah konvoi makanan dan trak pengangkut diserang, kata sumber kerajaan.

Dalam satu kenyataan berasingan, kerajaan berkata serangan pengganas ke atas konvoi berkenaan membunuh 14 orang awam manakala satu letupan bom di wilayah Sanmatenga meragut 15 nyawa serta mencederakan enam yang lain.

“Insiden berkenaan berlaku ketika usaha meningkatkan tahap keselamatan sedang diambil di rantau ini.

“Pasukan tentera sudah dikerah ke lokasi bagi menghulurkan bantuan,” kata kenyataan itu lagi.

Satu ketika dahulu berada dalam zon selamat di Sahel, Burkina Faso kini diancam krisis pemberontak sejak tiga tahun lalu yang diakibatkan oleh limpahan militan Islam dan jenayah dari negara jiran mereka, Mali.

Keganasan terbaharu itu menyusul serangan sekumpulan lelaki bersenjata pada Ogos yang meragut nyawa 24 anggota tentera. - Reuters

191 dibaca
Berita Harian X