Ahad, 1 September 2019 | 8:13am
Bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir dihadapkan di mahkamah di ibu kota Khartoum, semalam untuk berdepan tuduhan perolehan dan penggunaan dana asing secara haram. -Foto AFP

Omar al-Bashir didakwa peroleh, guna dana asing secara haram

KHARTOUM: Presiden disingkir Sudan, Omar al-Bashir didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan perolehan dan penggunaan dana asing secara haram, kesalahan yang mungkin menyebabkan bekas pemimpin itu merengkok dalam penjara selama lebih sedekad.

Omar yang disingkir April lalu susulan bantahan berbulan terhadap pemerintahannya, hadir di mahkamah dan diletakkan dalam kandang besi berwarna hitam memakai jubah putih dan berserban.

Hakim Al-Sadiq Abdelrahman membacakan tuduhan dalam sesi ketiga perbicaraan, mengatakan wang tunai pelbagai mata wang ditemui di rumahnya.

Al-Sadiq berkata, pihak berkuasa merampas wang tunai 6.9 juta euro (RM31.95 juta), AS$351,770 (RM1.48 juta) dan 5.7 juta pound Sudan (RM531,429.87) di rumah bekas pemimpin itu yang diperoleh dan digunakan secara haram.

Bercakap kali pertama di mahkamah, Omar, 75, berkata dana dirampas itu adalah baki daripada sejumlah AS$25 juta (RM105.14 juta) diterima daripada putera mahkota Arab Saudi.

“Pengurus pejabat saya menerima panggilan daripada pejabat Putera Mahkota Mohamed bin Salman mengatakan beliau ada ‘mesej’ yang akan dihantar menggunakan jet peribadi.

“Kami diberitahu, putera mahkota enggan namanya dikaitkan dengan urus niaga itu dan jika dana itu dimasukkan ke dalam bank Sudan atau Kementerian Kewangan, sumber akan dikenal pasti,” kata Omar kepada mahkamah.

Puluhan penyokong Omar hadir dalam sesi semalam, melaungkan Allahu Akbar ketika dia memasuki mahkamah menunjukkan jari telunjuk ke udara.

Omar gagal memaklumkan secara khusus bila dia menerima dana itu namun berkata menerimanya sebagai sebahagian hubungan strategik dengan Arab Saudi.

Katanya, dana itu ‘tidak digunakan untuk kepentingan peribadi namun sebagai sumbangan bagi menyokong individu dan entiti termasuk syarikat import gandum, sebuah universiti dan hospital.’

Menurut Al-Sadiq, undang-undang Sudan menghukum perolehan kekayaan haram sehingga penjara 10 tahun sementara penggunaan dana asing secara haram membawa hukuman sehingga penjara tiga tahun.

Peguam bela Omar menegaskan anak guamnya ‘tidak bersalah’ dan saksi akan dibawa ke mahkamah.

Seorang penyiasat sebelum ini memberitahu mahkamah, Omar menerima AS$90 juta (RM378.5 juta) wang tunai daripada keluarga diraja Arab Saudi termasuk bayaran AS$35 juta (RM147.19 juta) dan AS$30 juta (RM126.17 juta) daripada Raja Arab Saudi, Abdullah yang mangkat pada 2015.

Selepas dua jam setengah perbicaraan, hakim mengarahkan perbicaraan ditunda sehingga 7 September. -AFP

530 dibaca
Berita Harian X