Khamis, 29 Ogos 2019 | 6:49pm
Melina Caputa. - Foto ihsan Facebook

Remaja maut renjatan elektrik ketika berjalan di pantai

SANTA DOMINGO : Seorang pelancong Argentina meninggal dunia di Republik Dominica selepas terpijak wayar elektrik ketika sedang berjalan di pantai.

Melina Caputa, 17, mengalami kejutan elektrik di hadapan abang dan sepupunya ketika sedang berjalan kaki ayam menuju ke hotel mereka di Punta Cana, awal minggu lalu.

Caputa sebelum itu sedang menaiki sebuah tangga besi menuju ke jambatan apabila terpijak wayar berkenaan.

Pasukan kecemasan dikejarkan ke lokasi susulan kejadian namun gagal menyelamatkan nyawa remaja perempuan itu.

Siasatan awal mendapati Caputa meninggal dunia akibat kegagalan jantung walaupun keluarga mangsa masih menanti keputusan bedah siasat.

Caputa dan keluarganya menginap di Be Live of Bayahibe, iaitu sebahagian daripada rangkaian hotel Globalia yang mengeluarkan kenyataan untuk memberitahu bahawa tiada wayar hidup ditemui di premis mereka.

Susulan kematian Caputa, abangnya, Leandro memuat naik hantaran menyayat hati di Instagram, memohon maaf kerana menyifatkan dirinya cuai dalam menjaga keselamatan mendiang adiknya.

Leandro menyaksikan sendiri bagaimana Caputa mengalami kejutan elektrik sehingga meninggal dunia.

Kematian Caputa adalah yang terbaru dalam senarai panjang kematian pelancong di Republik Dominica dalam tempoh beberapa bulan.

Negara kepulauan Carribbean itu sedang bergelut dengan kematian pelancong dalam jumlah besar, menyebabkan sektor berkenaan mengalami penurunan sebanyak 74 peratus. - Agensi

1445 dibaca
Berita Harian X