Khamis, 1 Ogos 2019 | 11:43pm
Anggota tentera kelihatan terkejut dengan serangan peluru berpandu ke atas perarakan tentera dalam majlis graduasi pelatih baharu di Aden, Yaman. -Foto Reuters

49 terkorban dalam dua serangan di Yaman

ADEN: Serangan berasingan oleh pemberontak Syiah, Houthi dan pengebom bunuh diri mengorbankan sekurang-kurangnya 49 orang di bandar kedua dikawal kerajaan Yaman di Aden hari ini, majoritinya kadet polis terlatih.

Serangan itu adalah yang pertama mengenai bandar pelabuhan selatan lebih setahun dan memberi tamparan hebat kepada pasukan keselamatan kerajaan disusun semula yang dilatih dan dilengkapi senjata oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Mohammed Rabid memberitahu media di sini, 49 orang terkorban dan 48 lagi cedera dalam dua serangan.

Serangan pertama adalah bom kereta dilakukan militan ke atas balai polis, kata sumber keselamatan.

Seorang koresponden AFP menyaksikan puluhan askar dan polis membantu mangsa yang cedera di luar pintu masuk balai polis di daerah Sheikh Othman, di sini.

“Seramai 10 orang terbunuh dan kami merawat 16 yang cedera termasuk dua parah di hospital pembedahan MSF di Aden, susulan letupan pagi ini di balai polis Sheikh Othman,” kata Doctors Without Borders (MSF) di Twitter.

Serangan kedua dijalankan pemberontak Houthi yang berkata mereka melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke atas sebuah kem latihan di barat bandar ini.

Serangan udara itu mengenai komander kanan yang meneliti perarakan melintas untuk kadet baharu tamat pengajian di Kem Al-Jala sejauh 20 kilometer dari bandar ini.

Antara 30 dan 35 orang terbunuh atau cedera, kebanyakannya graduan baharu pasukan keselamatan digelar Lingkaran Keselamatan. Serangan itu menyebabkan kawah besar terbentuk manakala mayat terpelanting. -AFP

Berita Harian X