Khamis, 1 Ogos 2019 | 5:38pm
Anggota tentera bergegas membantu mangsa yang cedera susulan serangan peluru berpandu Houthi ke atas perarakan tentera ketika upacara graduasi di Aden, Yaman, hari ini. -Foto Reuters

32 anggota keselamatan Yaman maut diserang Houthi

ADEN: Pemberontak Houthi Yaman berkata, ia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas perarakan tentera di sini, hari ini, mengorbankan lebih 30 orang, menurut sumber perubatan dan keselamatan.

Saksi Reuters melihat sembilan mayat selepas letupan kem tentera milik pasukan Keselamatan Yaman disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga anggota pakatan diketuai Arab Saudi menentang Houthi.

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang, kata sumber perubatan dan keselamatan kepada Reuters. Medecins Sans Frontieres (MSF) atau Doctors Without Borders menulis tweet, puluhan lagi dirawat di hospital.

Saluran rasmi Houthi, Al Masirah TV berkata, kumpulan itu melancarkan serangan peluru berpandu balistik jarak sederhana dan dron senjata ke arah perarakan yang disifatkan diadakan sebagai persediaan tindakan tentera ke atas wilayah ditawan pemberontak itu.

Sumber keselamatan dan tentera pro-kerajaan berkata, seorang komander, Brigadier Jeneral Muneer al-Yafee, antara yang terkorban.

“Letupan berlaku di belakang pentas di mana upacara diadakan di kem tentera Al Jalaa di daerah Buraiqa, Aden. Sekumpulan anggota tentera menangis di sisi mayat dipercayai komander terbabit,” kata saksi Reuters.

Muneer baharu saja beredar dari pentas untuk menyambut seorang tetamu apabila letupan berlaku. Bendera bekas Yaman Selatan dan anggota utama pakatan dikibarkan ketika pancaragam tentera menunggu arahan untuk bermula. -Reuters

Berita Harian X