Selasa, 30 Julai 2019 | 8:39pm
- Foto Hiasan

Hampir satu per tiga penduduk Afrika Selatan menganggur

PRETORIA: Kadar pengangguran di Afrika Selatan meningkat kepada 29 peratus, ia adalah kadar tertinggi, sejak tinjauan suku tahun pekerjaan negara itu diperkenalkan, 11 tahun lalu.

“Kadar pengangguran meningkat 1.4 peratus daripada 27.6 peratus dalam suku pertama 2019 kepada 29 peratus pada suku kedua 2019.

“Ia adalah tahap tertinggi pernah direkodkan sejak 2008,” menurut laporan suku tahun jabatan statistik negara itu, StatsSA.

Data terbaharu itu menambah tekanan kepada pentadbiran baharu Presiden Cyril Ramaphosa yang berjanji memulihkan ekonomi dan menyediakan pekerjaan dalam kempen pilihan raya, Mei lalu.

Kira-kira 49,000 pekerja dihentikan dalam tempoh suku tahun itu dengan sektor perlombongan, pengangkutan, pembinaan dan perbankan kehilangan paling banyak pekerjaan.

Sejak beberapa bulan lalu, sektor perbankan, pelombongan dan pembinaan mengumumkan pengurangan pekerja besar-besaran, ketika Kadar Keluaran Dalam Negara (KDNK) negara itu susut 3.2 peratus untuk tempoh tiga bulan pertama, tahun ini. - AFP

241 dibaca
Berita Harian X