Jumaat, 5 Julai 2019 | 10:56pm
Penduduk Sudan meraikan perjanjian bersejarah di jalan raya Khartoum selepas pemimpintentera dan pemimpin pembangkang mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk menamatkan pergolakan politik sejak berbulan lalu. - Foto AFP

Penunjuk perasaan, tentera Sudan setuju kongsi kuasa

KHARTOUM: Rakyat Sudan membanjiri jalan raya di kota ini bagi meraikan perjanjian bersejarah yang dicapai antara pemimpin tentera dan pembangkang yang menyasar untuk menamatkan pergolakan politik sejak berbulan lalu.

Perjanjian perkongsian-kuasa itu dicapai awal hari ini selepas kedua belah pihak bersetuju untuk kembali ke meja rundingan hasil usaha Ethiopia dan Kesatuan Afrika sebagai pengantara.

Persetujuan itu dicapai selepas pusingan rundingan Mei lalu gagal menentukan sama ada pihak awam ataupun tentera yang bakal memimpin.

“Kedua belah pihak bersetuju mewujudkan sebuah Majlis berdaulat yang ditadbir oleh pihak awam dan tentera secara bergilir untuk tempoh tiga tahun atau lebih,” kata pengantara Kesatuan Afrika, Mohamed El Hacen Lebatt kepada wartawan.


Rakyat Sudan membawa bendera negara membanjiri di jalan raya Khartoum, Sudan. - Foto EPA

Sudan dibelenggu krisis politik sejak tentera menggulingkan presiden terdahulu, Omar al -Bashir dalam satu rampasan kuasa April lalu berikutan protes besar-besaran di seluruh negara sejak berbulan lalu.

“Kami ingin menegaskan kepada semua kuasa politik dan pergerakan bersenjata serta semua pihak yang mengambil bahagian dalam perubahan ini, bahawa perjanjian ini adalah bersifat inklusif dan tidak mengecualikan sesiapa,” kata timbalan pemimpin Majlis Peralihan Tentera, Mohamed Hamdan Dagalo, selepas kesepakatan itu dicapai.

Ketegangan di antara kedua belah pihak meletus selepas satu insiden serbuan kejam ke atas penunjuk perasaan yang enggan berganjak dari ibu pejabat tentera di Khartoum, menyebabkan puluhan penunjuk perasaan terbunuh dan mencederakan ratusan yang lain pada 3 Jun lalu. - AFP

Berita Harian X