Rabu, 12 Jun 2019 | 5:10pm
Gambar fail diambil di Congo pada 16 April lalu menunjukkan pekerja kesihatan Ebola menjalankan tugas di pusat rawatan di Beni, Timur Congo. -Foto Agensi

Uganda catat 3 kes Ebola, seorang maut

NAIROBI: Dua lagi kes jangkitan Ebola disahkan di Uganda selepas seorang budak lelaki lima tahun maut akibat penyakit itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

“Pesakit muda itu meninggal dunia malam tadi. Dua lagi sampel diuji positif. Justeru kami mempunyai tiga kes disahkan,” kata agensi itu di Twitter, memetik menteri kesihatan Uganda.

Kes itu adalah yang pertama merentasi sempadan daripada wabak dikesan di Republik Demokratik Congo.

Terdahulu, Uganda mengesahkan kes pertama Ebola di negara itu, membabitkan kanak-kanak terbabit semalam.

“Ini adalah kes pertama disahkan di Uganda ketika wabak Ebola berterusan di negara jiran Congo,” kata WHO dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak yang dijangkiti itu memasuki Uganda pada 9 Jun lalu menerusi pos sempadan Bwera. Keluarganya mendapatkan rawatan di hospital Kagando dan mangsa kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Ebola Bwera, kata WHO.

“Pengesahan jangkitan dibuat hari ini (Selasa) oleh Institut Virus Uganda (UVRI). Hubungan mangsa dengan individu lain sedang dipantau,” kata WHO.

Budak itu ditemani bapanya berbangsa Uganda dan ibunya dari Congo, yang pulang ke negara asal untuk menjaga bapanya yang dijangkiti Ebola sebelum meninggal dunia, kata Menteri Kesihatan Uganda, Jane Ruth Aceng dalam sidang media.

Keluarga itu kembali ke Uganda bersama empat anggota keluarga lain yang berasal dari Congo, kata Aceng.

Katanya, kesemua anggota keluarga dari Congo itu kini diasingkan di Hospital Bwera dengan dua daripadanya menunjukkan gejala sama dengan penyakit terbabit dan sampel diambil daripada mereka untuk pengesahan. -Reuters

46 dibaca
Berita Harian X