Isnin, 10 Jun 2019 | 10:25am
PENUNJUK perasaan menyekat jalan raya di Khartoum. - Foto AFP

4 lagi maut dalam kempen penentangan sivil Sudan

KHARTOUM: Empat lagi terbunuh di Sudan semalam ketika penunjuk perasaan meneruskan kempen ‘penentangan sivil’ terhadap tentera susulan tindakan keras mereka ke atas pembangkang yang enggan berganjak kerana mendesak pemerintahan awam.

Kempen itu berlarutan hampir seminggu selepas serangan ke atas penunjuk perasaan yang enggan berganjak dari ibu pejabat tentera di tengah Khartoum.

Ia disusuli rundingan di antara pemimpin pembangkang dan pemerintah tentera membincangkan sama ada orang awam atau tentera layak sebagai pentadbir kerajaan baharu.

Susulan gesaan pembangkang untuk menyertai kempen penentangan sivil, penunjuk perasaan menyekat jalan raya di Khartoum manakala pasar dan premis perniagaan ditutup di beberapa bandar dan kota lain.

Jawatankuasa doktor yang dikaitkan dengan penunjuk perasaan berkata dua terbunuh semalam di Khartoum manakala dua lagi di bandar berkembar Omdurman, berhampiran sungai Nil.

Jawatankuasa Pusat Doktor-Doktor Sudan menyalahkan pentadbiran majlis tentera dan militia ke atas empat kematian itu.

Setakat ini, 118 orang terbunuh sepanjang pelaksanaan tindakan keras tentera untuk menyuraikan pembangkang yang enggan berganjak, sejak 3 Jun lalu.

Bantahan berpunca daripada kenaikan tiga kali ganda harga roti mencetus protes besar-besaran terhadap Presiden Omar al-Bashir Disember lalu dan pemerintahan kuku besinya.

Selepas digulingkan April lalu, penunjuk perasaan masih berkhemah selama beberapa minggu di Khartoum mendesak pemimpin tentera untuk memulakan peralihan kuasa. - AFP

154 dibaca
Berita Harian X