Ahad, 9 Jun 2019 | 6:59pm
TENTERA Sudan memantau keadaan di Khartoum selepas polis melepaskan tembakan bagi menyuraikan penunjuk perasaan. - Foto AFP

Polis Sudan lepas tembakan amaran suraikan tunjuk perasaan

KHARTOUM: Polis Sudan melepaskan tembakan amaran hari ini untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang mengadakan sekatan jalan raya di ibu kota negara itu, sebagai sebahagian kempen penentangan sivil terhadap tentera susulan keganasan yang menyebabkan puluhan maut.

Kempen itu berlanjutan hampir seminggu selepas serangan ke atas penunjuk perasaan yang duduk membantah di luar ibu pejabat tentera, yang menyusul rundingan antara pemimpin bantahan dan pemerintah tentera.

Susulan desakan bantahan itu, penunjuk perasaan mendirikan sekatan jalan raya di Khartoum manakala pasar dan kedai ditutup di beberapa pekan dan bandar.

Di daerah Bahari di utara Khartoum, orang ramai mengumpulkan tayar, ranting pokok dan bantu untuk mendirikan sekatan baru.

“Hampir semua jalan dalam di Bahari ada sekatan. Penunjuk perasaan menghalang pendidik daripada pergi kerja,” kata seorang saksi.

Namun polis pencegah rusuhan campur tangan, melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan sebelum menghapuskan hadangan, katanya.

Persatuan Profesional Sudan, yang mula melancarkan bantahan terhadap bekas Presiden Omar al-Bashir pada Disember lalu, berkata kempen bantahan sivil akan berterusan sehingga pemerintah tentera menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam.

Di daerah Bahari, saksi melihat trak polis dipenuhi orang berpakaian awam tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mereka adalah penunjuk perasaan yang ditahan.

Penduduk Khartoum masih berkurung sejak Isnin lalu, apabila kumpulan lelaki berpakaian seragam tentera menyerbu kem bantahan dan membunuh puluhan orang.

Beberapa kenderaan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang ditakuti dilihat bergerak di seluruh beberapa bahagian di ibu negara dengan dilengkapi mesingan. - AFP

190 dibaca
Berita Harian X