Rabu, 5 Jun 2019 | 7:42pm

Lima maut tanah runtuh di Uganda

KAMPALA: Hujan lebat sehingga mengakibatkan tanah runtuh di timur Uganda menyebabkan sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala puluhan lagi dikhuatiri hilang.

Pejabat Perdana Menteri mengesahkan angka kematian iaitu lima orang dan bilangan mangsa yang tidak diketahui masih hilang.

“Pasukan Palang Merah dan pihak berkuasa tempatan sedang melakukan operasi menyelamat di lokasi kejadian,” kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Julius Mucunguzi.

Tambahnya, orang ramai yang tinggal di kawasan terdedah bencana diarahkan berpindah dan mendapatkan perlindungan di rumah saudara mara.

Menurut kenyataan pasukan Palang Merah, terdapat tiga kejadian tanah runtuh yang serius berlaku di daerah Bududa yang bersempadan dengan Kenya selepas hujan lebat malam kelmarin.

Polis tempatan berkata, kelima-lima mangsa yang meninggal dunia berumur antara empat hingga 73 tahun dan mayat mereka ditemui pasukan Palang Merah. - Reuters

Berita Harian X