Selasa, 4 Jun 2019 | 1:57pm
Gambar disediakan Mahkamah Diraja Saudi menunjukkan putera Mahkota Saudi Mohammad bin Salman (kanan) bercakap sesuatu pada pemerintah tentera Sudan, Abdel Fattah Burhan, semasa Sidang Kemuncak Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, Arab Saudi, pada 30 Mei lalu. - Foto EPA

Majlis Peralihan batal persetujuan, adakan pilihan raya sembilan bulan lagi

KHARTOUM : Pemerintah tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah Al Burhan hari ini berkata, tentera negara itu sudah membuat keputusan untuk membatalkan perjanjian yang dicapai bersama penunjuk perasaan sebelum ini berhubung peralihan kuasa dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh sembilan bulan.

Perkara terbabit diputuskan selepas tentera negara itu menyuraikan penunjuk perasaan secara paksa di luar ibu pejabat tentera yang menuntut pihak tentera menyerahkan pemerintahan ke tangan orang awam, menyebabkan 30 orang maut.

“Majlis tentera memutuskan untuk menghentikan rundingan bersama Gerakan Pembebasan dan Perubahan dan membatalkan persetujuan sebelum ini serta mengadakan pilihan raya dalam tempoh sembilan bulan,” kata Burhan dalam satu kenyataan yang disiarkan secara langsung stesen televisyen tempatan awal hari ini.

Burhan berkata, pilihan raya itu akan diadakan di bawah pemantauan serantau dan antarabangsa.

Majlis Peralihan Tentera menyingkirkan presiden Omar Al Bashir pada April lalu selepas membantah pemerintahan kuku besi beliau selama beberapa bulan.

Mereka sebelum ini setuju untuk mengadakan tempoh peralihan kuasa selama tiga tahun sebelum menyerahkan ia ke tangan orang awam dan mewujudkan parlimen dianggotai 300 ahli iaitu 2/3 dari kalangan penunjuk perasaan manakala bakinya dari pelbagai kumpulan politik.

Ribuan penduduk masih kekal berkhemah di luar ibu pejabat tentera dan mendesak kepimpinan badan itu menyerahkan kuasa sebelum disuraikan secara paksa oleh pasukan keselamatan, menyebabkan 30 maut manakala ratusan lain cedera.

Tindakan itu menerima kecaman hebat Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

532 dibaca
Berita Harian X