Selasa, 4 Jun 2019 | 8:27am
Penunjuk perasaan Sudan menghalang jalan raya di kawasan kejiranan Khartoum, beberapa jam selepas pelbagai media melaporkan pembukaan awal pagi di ibu pejabat tentera di Khartoum, Sudan. - Foto EPA

Lebih 35 maut pasukan keselamatan serbu penunjuk perasaan

KHARTOUM : Serbuan pasukan keselamatan ke atas penunjuk perasaan di ibu negara semalam menyebabkan lebih daripada 35 orang terbunuh dalam keganasan terburuk sejak Presiden Omar Al Bashir digulingkan April lalu.

Visual yang tersebar di media sosial sejak semalam memaparkan kekecohan yang melanda apabila orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri sambil diikuti bunyi tembakan di hampir semua tempat.

Menurut saksi, bunyi tembakan itu masih boleh didengar di beberapa kawasan kejiranan hingga awal pagi tadi.

Keganasan itu memusnahkan harapan untuk melihat rundingan damai dimulakan kembali antara gabungan utama pembangkang dan majlis pemerintah tentera berhubung pemerintah yang layak mentadbir negara berkenaan selepas penyingkiran Bashir.


Penunjuk perasaan Sudan mendirikan halangan di jalan dan menuntut agar Majlis Ketenteraan Peralihan negara menyerahkan kuasa kepada orang awam di Khartoum, Sudan. - Foto REUTERS

Saksi berkata, penunjuk perasaan membina penghadang dari batu bata, besi buruk dan tiang lampu yang diambil dari kaki lima jalan sekitar Khartoum serta bandar berkembar Omdurman.

Sekumpulan doktor yang memiliki kaitan dengan pihak pembangkang berkata, sekurang-kurangnya 35 orang maut dalam keganasan semalam dan jumlah kematian dijangka terus meningkat.


Penunjuk perasaan Sudan membakar tayar ketika mereka mendirikan benteng di jalan dan menuntut agar Majlis Ketenteraan Peralihan negara menyerahkan kuasa kepada orang awam di Khartoum, Sudan. - Foto REUTERS

Kumpulan sama sebelum ini melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 116 orang cedera dalam rusuhan itu.

Kumpulan utama penunjuk perasaan terbabit menuduh pemerintah tentera melakukan pembunuhan besar-besaran apabila menggunakan kekerasan ke atas peserta.

Tuduhan itu dinafikan jurucakap Majlis Peralihan Tentera (TMC), Leftenan Jeneral Shams El Din Kabbashi yang berkata, pasukan tentera mengambil tindakan sewajarnya untuk mententeramkan kekecohan ditimbulkan semua penunjuk perasaan. - Reuters

520 dibaca
Berita Harian X