Sabtu, 18 Mei 2019 | 2:30pm
Penculikan bertujuan menuntut wang tebusan menjadi berleluasa di Nigeria. - Foto hiasan

Menculik jadi sumber pendapatan di Nigeria

LAGOS: Kira-kira 203 jenayah membabitkan kematian dan 281 penculikan berlaku dalam tempoh tiga bulan tahun ini di Nigeria dan penculikan bertujuan menuntut wang tebusan menjadi berleluasa di negara itu, kata seorang pegawai polis Nigeria.

Mohammed Adamu berkata, jumlah penculikan itu adalah separuh daripada 685 kes di seluruh negara dalam tempoh suku tahun pertama, purata tujuh penculikan sehari.

Adamu memberitahu wartawan, seramai 1,071 orang mati dalam kejadian jenayah membabitkan keganasan.

Penculikan menuntut wang tebusan di Nigeria sudah menjadi barah terutama di selatan negara itu yang kaya dengan hasil minyak sejak sedekad lamanya.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan, jenayah itu mula merebak ke beberapa kawasan lain di barat laut, wilayah asal Presiden Muhammadu Buhari, yang menyaksikan peningkatan angka jenayah yang membimbangkan.

Menurut pakar keselamatan, jumlah laporan kes culik di seluruh negara semakin meningkat.

Punca kejadian berlaku pelbagai, ia termasuk kegawatan ekonomi, ancaman daripada kumpulan pemberontak tempatan serta pertikaian tanah antara penternak dan petani.

Seorang pemandu teksi di barat laut Nigeria, Aminu Magami hanya mampu terkedu ketika diserang 20 lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke udara pada satu malam ketika Februari lalu.

“Seorang daripada mereka meluru ke arah kereta saya, saya hanya mampu terduduk dan mengangkat tangan serta merayu mereka,” katanya mengenang kembali kejadian itu.

Magami dijadikan tebusan di negeri Zamfara, dia ditahan dan didera hampir sebulan.

Beliau dan penumpangnya, dua orang wanita dan tiga kanak-kanak termasuk seorang bayi, diculik di Gusau, ibu negeri Zamfara.

Katanya, mereka dirantai dan diletak di dalam pondok gelap bersama berpuluh-puluh tahanan yang lain di dalam hutan yang jauh ke barat laut Nigeria, berhampiran negara jiran yang berada di bawah jagaan kumpulan penjenayah serta militia.

Penculik bersenjata menghubungi keluarga Magami setiap hari, menuntut wang tebusan. Keluarganya yang bekerja sebagai peniaga dan petani berusaha untuk mengumpul 440.000 naira (RM5,103) untuk diserahkan kepada penculik.

Magami kemudian dibebaskan selepas 25 hari dirantai, tanpa sebarang sokongan polis walaupun keluarganya sudah membuat aduan beberapa kali. - AFP

582 dibaca
Berita Harian X