Rabu, 15 Mei 2019 | 10:14am
Penunjuk perasaan Sudan melaungkan slogan dam mengibarkan sepanduk ketika bantahan di Khartoum, semalam. -Foto AFP

Tentera Sudan, pemimpin bantahan setuju tempoh peralihan 3 tahun

KHARTOUM: Pemerintah tentera Sudan dan pemimpin bantahan hari ini bersetuju terhadap tempoh peralihan tiga tahun untuk memindahkan kuasa kepada pentadbiran awam sepenuhnya walaupun ketika rundingan berhubung badan pemerintah baharu berdaulat masih belum selesai.

Pergerakan bantahan menuntut satu peralihan diketuai kerajaan awam susulan pemerintahan kuku besi selama 30 tahun Presiden disingkir Omar al-Bashir, namun jeneral tentera yang menggulingkannya, kini memegang peranan kepimpinan.

Rundingan antara kedua belah pihak diteruskan awal minggu ini namun dicemari keganasan apabila seorang mejar tentera dan lima penunjuk perasaan terbunuh diserang penembak tidak dikenali dalam bantahan panjang di luar ibu pejabat tentera di sini.

Kedua-dua pihak membuat pengumuman awal hari ini, mereka mencapai satu perjanjian berhubung tempoh peralihan.

“Kami bersetuju terhadap satu tempoh peralihan tiga tahun,” kata Leftenan Jeneral Yasser al-Atta, anggota majlis tentera kepada media.

Yasser berkata, satu perjanjian akhir berhubung perkongsian kuasa termasuk pembentukan badan pemerintah berikutnya, majlis berdaulat, akan ditandatangani dengan pergerakan bantahan, Pakatan Kebebasan dan Perubahan, dalam tempoh sehari.

“Kami berikrar kepada rakyat, perjanjian ini akan lengkap dalam tempoh 24 jam dengan cara yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata Yasser.

Katanya daripada tempoh peralihan tiga tahun itu, enam bulan pertama diperuntukkan untuk menandatangani perjanjian damai dengan pemberontak dalam zon perang negara itu seperti Darfur, Nil Biru dan Selatan Kordofan.

Jeneral tentera itu berkata, pada mulanya pihaknya bertegas tempoh peralihan dua tahun sementara pemimpin bantahan mahukan empat tahun. -AFP

189 dibaca
Berita Harian X