Isnin, 13 Mei 2019 | 8:35am
Sebuah gereja di Ouahigouya, di utara Burkina Faso. - Foto AFP

Enam maut penyerang bersenjata serang gereja

OUAGADOUGOU (BURKINA FASO) : Seorang paderi dan lima penganut agama Kristian maut di tangan sekumpulan penyerang bersenjata dalam satu serangan di gereja Katholik di Dablo, utara negara itu.

Datuk Bandar Dablo, Ousmane Zongo berkata, kejadian terbabit berlaku pada jam 9 pagi semalam (waktu tempatan) ketika upacara keagamaan sedang dijalankan di gereja itu.

“Mereka melepaskan tembakan dan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

“Penyerang itu berjaya membunuh lima pengikut dan paderi yang mengetuai upacara berkenaan turut maut, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terkorban seramai enam orang,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, kumpulan penyerang terbabit dianggotai pemuda berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Mereka kemudian bertindak membakar gereja berkenaan, beberapa kedai serta sebuah kafe kecil sebelum menuju ke arah sebuah pusat perubatan tempatan dan membakar kenderaan milik ketua jururawat.

“Situasi itu menimbulkan panik di kalangan penduduk. Orang ramai menyembunyikan diri di dalam rumah, kedai ditutup. Keadaan amat sunyi,” kata Zongo.

Dablo terletak di utara wilayah Sanmatenga.

Insiden berkenaan berlaku dua hari selepas pasukan khas Perancis membebaskan empat tebusan asing di utara negara itu dalam satu serbuan yang turut mengorbankan dua anggota tentera. - AFP

1060 dibaca
Berita Harian X