Khamis, 2 Mei 2019 | 7:31pm
Reginald Mengi

Tokoh media Tanzania, Reginald Mengi meninggal dunia

NAIROBI: Jutawan dan dermawan warga Tanzania, Reginald Mengi yang mengetuai kumpulan media terbesar di Afrika, dilaporkan meninggal dunia hari ini, pada usia 75 tahun di Dubai.

“Kami dengan rasa sedihnya ingin mengumumkan berita kematian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat IPP, Dr Reginald Mengi di Dubai, malam semalam,” lapor laman web Guardian Tanzania.

Mengi yang lahir pada 1944 dalam sebuah keluarga miskin di wilayah Kilimanjaro, menubuhkan empayar media IPP yang beroperasi di Tanzania dan beberapa bahagian timur Afrika.

“Beliau (Mengi) memiliki 11 syarikat akhbar, radio dan stesen televisyen,” lapor majalah Forbes.

Mengi turut memiliki syarikat pengeluar sabun, pemilik terbesar jenama air botol di Tanzania, selain terbabit dalam perlombongan emas, uranium, tembaga, krom dan arang batu.

Pada 2014, Forbes menyenaraikan beliau sebagai antara 50 individu terkaya di Afrika, namun Mengi terkeluar dari senarai itu dan nilai kekayaannya dianggar sebanyak AS$560 juta (RM2.3 bilion).

“Saya amat sedih apabila menerima berita kematian Mengi. Saya akan sentiasa mengingati sumbangannya kepada pembangunan negara ini dan visinya yang dikongsi di dalam bukunya, iaitu ‘saya boleh, saya akan, saya mesti,” kata Presiden John Magufuli di Twitter.

Dalam pada itu, Mengi juga terkenal dengan sifat dermawan, apabila menghantar ratusan kanak-kanak Tanzania menerima rawatan jantung di India. - AFP

68 dibaca
Berita Harian X