Rabu, 1 Mei 2019 | 10:27am
FOTO hiasan.

14 pembalak maut dibunuh Boko Haram

KANO (NIGERIA) : Seramai 14 pembalak maut di tangan militan Boko Haram ketika sedang mengutip kayu api di timur laut Nigeria, lapor penduduk tempatan dan pasukan tentera awam anti militan.

Mayat kesemua mangsa ditemui di perkampungan Duwabayi berhampiran pekan Monguno di negeri Borno lewat malam tadi oleh sekumpulan pembalak lain.

“Mayat 14 pembalak itu dibawa ke balai polis di Monguno selepas dilaporkan beberapa penduduk kampung,” kata ketua pasukan tentera awam kampung berkenaan.

Perkampungan Duwabayi ditinggalkan tahun lalu selepas penduduk melarikan diri ke kem perlindungan di Monguno bagi mengelakkan serangan Boko Haram.

Kumpulan yang setia pada serpihan militan Daesh dipercayai menjadikan kawasan itu kini sebagai tempa mereka beroperasi.

“Empat belas mayat dibawa petang ini ke Monguno dan orang ramai berpusu-pusu mengunjungi balai polis untuk melihat jika mereka boleh mengenal pasti mangsa,” kata penduduk pekan itu, Kulo Gana.

Seorang lagi penduduk, Bunami Mukhtar berkata semua mayat itu dipenuhi luka kesan tembakan.

Kesemua pembalak terbabit adalah antara ribuan penduduk yang menghuni kem perlindungan di pekan itu selepas kehilangan rumah masing-masing akibat serangan militan. - AFP

515 dibaca
Berita Harian X