Isnin, 29 April 2019 | 3:49pm
Penunjuk perasaan Sudan berjalan di landasan kereta api mengibarkan bendera negara ketika bantahan di luar ibu pejabat tentera di Khartoum. -Foto AFP

Tentera Sudan sedia kongsi kuasa dengan pentadbiran awam

KHARTOUM: Penunjuk perasaan Sudan semalam mengalu-alukan kejayaan rundingan dengan pemerintah tentera bersetuju membentuk sebuah majlis bersama awam-tentera, memberi laluan kepada pentadbiran awam seperti mana dituntut penunjuk perasaan.

Perjanjian kelmarin akan menggantikan majlis sedia ada dianggotai 10 pemerintah tentera yang mengambil alih kuasa selepas tentera menyingkirkan pemimpin veteran Omar al-Bashir pada 11 April lalu di tengah bantahan besar-besaran.

“Apa yang berlaku semalam ialah langkah memiliki kuasa awam. Kami gembira dengan perkembangan dalam rundingan namun masih menunggu pembentukan majlis dan kerajaan awam,” kata Mohamed Amin, seorang daripada ribuan penunjuk perasaan yang berkhemah selama beberapa minggu di luar ibu pejabat Kementerian Pertahanan.

Majlis bersama awam-tentera akan menjadi badan pemerintah keseluruhan, sementara sebuah kerajaan peralihan awam baharu dijangka dibentuk untuk mengendalikan urusan semasa negara, tuntutan utama penunjuk perasaan.

Kerajaan awam itu akan berusaha mengendalikan pilihan raya pertama pasca pemerintahan Omar.

“Apabila kami memiliki sebuah kerajaan awam, justeru kami dapat katakan negara berada di landasan betul,” kata Mohamed.

Penunjuk perasaan berkata, mereka akan meneruskan bantahan sehingga sebuah pentadbiran awam ditubuhkan.

“Malam tadi perjanjian yang dipersetujui adalah langkah ke arah kestabilan negara. Namun kami tidak fikir kami akan meninggalkan bantahan sehingga kami mencapai tuntutan sebuah kerajaan awam,” kata penunjuk perasaan Sawsan Bashir.

Pemimpin bantahan, Ahmed Al-Rabia mengesahkan kepada AFP keputusan membentuk majlis pemerintahan bersama.

“Kami kini sedang berunding peratusan majlis perlu diwakili awam dan berapa banyak oleh tentera,” kata Ahmed yang terbabit dalam rundingan.

Aktivis berkata, majlis baharu mungkin terdiri daripada 15 anggota dengan lapan orang awam dan tujuh jeneral tentera. -AFP

Berita Harian X