Isnin, 22 April 2019 | 8:15am
Penunjuk perasaan Sudan berkumpul dan melaungkan bantahan di luar ibu pejabat tentera di Khartoum, semalam. -Foto AFP

Tentera jumpa wang tunai AS$113 juta di kediaman Omar al-Bashir

KHARTOUM: Pemerintah tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan berkata semalam, lebih AS$113 juta (RM466.97 juta) wang tunai dalam tiga mata wang dirampas dari kediaman Presiden disingkir Omar al-Bashir.

Katanya, pasukan polis, tentera dan ejen keselamatan menemui wang tunai tujuh juta euro (RM32.23 juta), AS$350,000 (RM1.45 juta) dan lima bilion pound Sudan (RM433.91 juta) ketika serbuan di kediaman Omar.


Tentera menjumpai lebih AS$113 juta (RM466.97 juta) wang tunai dalam tiga mata wang dirampas dari kediaman Presiden disingkir Omar al-Bashir. -Foto EPA

Pemangku Pendakwa Raya Awam, Al-Waleed Sayyed Ahmed sementara itu meminta pihak berkuasa supaya mendaftarkan semua hartanah persendirian milik pegawai rejim sebelum itu, lapor agensi berita rasmi SUNA.

Beliau juga meminta mereka berhenti memproses permohonan pemindahan pemilikan hartanah bekas pegawai rejim dan anggota keluarga mereka.

Sementara itu, pemimpin bantahan Sudan menggantung rundingan dengan pemerintah tentera selepas pasukan keselamatan gagal memenuhi tuntutan mereka untuk pemindahan segera pemerintahan awam.


Penunjuk perasaan Sudan berkumpul dan melaungkan bantahan di luar ibu pejabat tentera di Khartoum, semalam. Pemimpin bantahan menggantung rundingan dengan tentera selepas mereka gagal memenuhi tuntutan memindahkan kuasa kepada pemerintahan awam. -Foto AFP

Pemimpin bantahan merancang menamakan anggota sebuah badan awam untuk mengambil alih pemerintahan daripada majlis tentera yang berkuasa 11 April lalu selepas penyingkiran Omar.

“Kami menggantung semua rundingan dengan majlis tentera,” kata jurucakap pergerakan bantahan, Mohamed al-Amin kepada puluhan ribu penunjuk perasaan yang berkumpul di kompleks tentera.

Katanya, bantahan duduk selama beberapa minggu akan berterusan serta menuduh majlis tentera tiada beza daripada rejim disingkir.

“Kami menggesa bantahan memuncak dan berterusan diteruskan sehingga tuntutan dipenuhi. Kami menganggap majlis tentera sebagai lanjutan rejim sebelum ini,” kata Mohamed.

Wagdi Saleh, individu utama pergerakan bantahan, menyalahkan pemerintah tentera kerana melewatkan pembentukan sebuah majlis awam.

“Ketua jawatankuasa politik majlis (tentera) memaklumkan delegasi kami, mereka masih menimbang tuntutan kami antara 100 tuntutan lain daripada parti politik,” katanya.

Terdahulu semalam, Abdel Fattah berikrar, beliau komited menyerahkan kuasa kepada rakyat dan berjanji memberi maklum balas terhadap tuntutan penunjuk perasaan dalam tempoh seminggu.

Majlis tentera meletakkan rancangan peralihan selama dua tahun. -AFP

Berita Harian X