Isnin, 8 April 2019 | 11:54pm
TUJUH orang maut, termasuk enam di wilayah Khartoum ketika anggota kawalan keselamatan negara mahu meleraikan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan. - Foto AFP

7 maut dalam bantahan di Sudan

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut, termasuk enam di wilayah Khartoum ketika anggota kawalan keselamatan negara mahu meleraikan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan, hari ini, menurut menteri dalam negeri.

"Ketika mahu meleraikan bantahan, tujuh orang terkorban dan enam daripada jumlah itu adalah dari Khartoum manakala satu lagi dari Darfur," kata Bushara Juma di Parlimen dan menambah kira-kira 10,000 penunjuk perasaan berarak di hadapan ibu pejabat tentera di ibu negara.

"Sejumlah 15 lagi orang awam dan 42 anggota pengawal keselamatan turut mengalami kecederaan."

Juma berkata, sejumlah 23 demonstrasi diadakan sejak 6 April lalu sebagai satu bantahan ke atas pemerintahan Presiden Omar al-Bashir.

Menurut pegawai, angka maut sudah meningkat kepada 38 secara keseluruhan setakat ini sejak bantahan bermula pada Disember, tahun lalu.

Sementara itu, Juma berkata pihak berkuasa sudah menahan 2,496 penunjuk perasaan dan menambah enam kenderaan polis rosak dalam bantahan itu. - AFP

Berita Harian X