Rabu, 13 March 2019 | 10:11pm
Anggota penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Lagos, Nigeria. Foto Reuters

100 murid sekolah dikhuatiri terperangkap

LAGOS: Kira-kira 100 kanak-kanak dikhuatiri terperangkap, selepas sebuah bangunan yang turut menempatkan sekolah rendah runtuh di Lagos, Nigeria.

Wartawan Reuters yang berada di lokasi kejadian, berkata beliau menyaksikan seorang murid lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun ditarik keluar dari bawah runtuhan.

Orang ramai yang memenuhi kawasan runtuhan turut bersorak gembira selepas seorang lagi kanak-kanak diselamatkan dari runtuhan berkenaan.

Kedua-dua kanak-kanak itu adalah antara lapan mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian itu.

Ketika anggota penyelamat bertungkus-lumus membersihkan kawasan runtuhan daripada serpihan, ribuan penduduk memenuhi lokasi itu, termasuk memerhati dari bumbung dan jalan di sekitarnya.

“Kami percaya masih ramai mangsa, termasuk kanak-kanak yang terperangkap di dalam bangunan ini,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan wilayah barat daya, Ibrahmi Farinloye, sambil menambah angka mangsa masih yang tepat masih belum diperoleh.

Menurut penduduk di kawasan terbabit, kira-kira 100 murid belajar di sekolah berkenaan, yang berada di aras tiga bangunan itu. - Reuters

378 dibaca
Berita Harian X