Isnin, 4 Februari 2019 | 6:39pm
Pasukan keselamatan dan kecemasan memindahkan mangsa yang cedera dalam letupan berhampiran pusat beli belah di Mogadishu, Somalia. Foto Reuters

9 orang awam maut kereta meletup di Mogadishu

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya sembilan maut, manakala beberapa mangsa lagi cedera apabila kereta meletup di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini, dipercayai didalangi kumpulan militan, Al Shabaab.

Menurut polis, insiden letupan itu berlaku di daerah Hamarweyne, Mogadishu, kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai kedai dan restoran.

“Setakat ini, sembilan orang awam disahkan maut, manakala beberapa lagi mangsa cedera,” kata seorang pegawai polis, Ahmed Moalin Ali.

Ahmed Moalin berkata, beberapa mangsa maut selepas terperangkap dalam bangunan yang runtuh akibat letupan terbabit.

Sementara itu, Reuters yang memetik seorang pegawai polis, Mohamed Hussein, berkata ia adalah letupan bom kereta yang diletakkan di hadapan sebuah pusat beli belah di Mogadishu.

Seorang pekedai, Munira Abdukadir, berkata beliau menyaksikan empat mayat mangsa di bawah runtuhan bangunan, manakala tiga lagi tercampak ke luar bangunan akibat letupan berkenaan

“Saya berada tidak jauh dari lokasi letupan, tetapi bernasib baik kerana terselamat dalam kejadian itu.

“Saya melihat beberapa orang cedera dan ada di antara mereka yang menjerit kesakitan sementara menunggu ketibaan ambulans,” kata seorang lagi saksi, Abdulahi Mohamed. - Reuters/AFP

30 dibaca
Berita Harian X