Rabu, 30 Januari 2019 | 7:05am
Lima daripada pendatang Afrika terbabit maut manakala dua lagi berjaya diselamatkan anggota tentera yang dimaklumkan penduduk tempatan. Foto AFP

Lebih 130 pendatang Afrika dikhuatiri lemas di Djibouti

GENEVA: Lebih 130 pendatang dari Afrika dikhuatiri hilang di luar pantai Djibouti selepas dua bot terlebih muatan karam di laut lepas semalam, kata Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kapal terbabit menuju ke Yaman, pintu masuk ke negara Teluk di mana ramai pendatang berharap mencari pekerjaan dan kehidupan lebih baik, kata jurucakap IOM, Joel Millman.

Anggota tentera yang dimaklumkan penduduk tempatan menemui dua mangsa terselamat dan lima mayat pendatang. Bot terbabit dipercayai karam di luar pantai Godoria, dalam rantau Obock, Djibouti.

Kakitangan IOM mengenal pasti seorang pendatang lelaki berusia 18 tahun antara 130 penumpang bot pertama, namun dia tiada maklumat bot kedua.

“Pengawal pantai turut dimaklumkan dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat. Operasi itu masih berjalan menggunakan dua bot peronda,” kata kenyataan.

Terletak merentasi Selat Bab el-Mandeb dari Yaman yang dilanda perang dan berhampiran Somalia serta Habsyah, Djibouti sejak beberapa tahun lalu menjadi tempat transit pendatang yang mencari kerja di Semenanjung Arab.

IOM mengendalikan sebuah pusat di Obock membantu pendatang yang lari daripada konflik di Yaman. Pada 2017, kira-kira 2,900 pendatang terutama dari Somalia dan Habsyah melalui Yaman, tahun yang menyaksikan kira-kira 100,000 pendatang menuju ke negara bermasalah itu. -AFP/Reuters

339 dibaca
Berita Harian X