Selasa, 29 Januari 2019 | 1:01am
20 lelaki bersenjata memakai pakaian tentera dan polis datang dan menculik penyokong di bandar Birnin Magaji. - Foto Naija News

7 penyokong bola sepak diculik di utara Nigeria

KANO: Sekumpulan lelaki bersenjata menculik tujuh penyokong bola sepak ketika mereka sedang menonton satu perlawanan menerusi televisyen di satu tempat di negeri Zamfara, utara Nigeria, kata penduduk dan polis hari ini.

Kira-kira 20 lelaki bersenjata memakai pakaian tentera dan polis datang dan menculik penyokong di bandar Birnin Magaji, malam Sabtu semasa perlawanan antara AC Milan dan Napoli.

Pemilik pusat tayangan itu, Sanusi Ishie memberitahu AFP: “Mereka datang dengan memakai pakaian tentera serta polis dan kemudian menculik tujuh orang ketika sedang menonton perlawanan itu”.

Tambahnya, penonton lain sempat melarikan diri dan dia mempercayai bahawa kumpulan itu adalah mereka kumpulan penjenayah yang bertanggungjawab melakukan penculikan sama bagi tujuan meminta wang tebusan di Zamfara.

“Mereka pasti akan meminta wang untuk membebaskan mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Zamfara, Mohammed Shehu mengesahkan penculikan itu dan berkata polis dan pasukan penyelamat sudah dikerahkan untuk mencari dan menyelamatkan mangsa.-AFP.

381 dibaca
Berita Harian X