Sabtu, 26 Januari 2019 | 11:12am
Bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe. - Foto standardmedia.co.ke

Beg berisi wang tunai milik Mugabe dilarikan

HARARE: Hampir sejuta dolar wang tunai dilarikan daripada bagasi dimiliki bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, lapor media semalam, ketika tiga suspek termasuk seorang saudara pemimpin itu dibicarakan kerana mencuri.

Menurut dokumen mahkamah yang dikemaskini, Mugabe mengisi beg berkenaan dengan jutaan dolar dan menyembunyikan ia di dalam perpustakaan di rumahnya di Zvimba, barat Harare pada 2016.

Cuma AS$78,000 (RM321,000) berjaya ditemui semula dalam beg itu pada 6 Januari lalu, menurut laporan akhbar The Herald, memetik kenyataan mahkamah.

Ketiga-tiga tertuduh, termasuk Constancia Mugabe, 50, saudara kepada bekas presiden itu, hadir di mahkamah majistret Chinhoyi, kelmarin dan diarahkan kembali semula pada 7 Februari ini.

Mereka dituduh menghabiskan wang itu membeli kereta, rumah dan ladang ternakan.

Mugabe tidak diketahui berada di mana sejak lewat November lalu apabila Presiden Emmerson Mnangagwa, berkata bekas pemimpin berusia 94 tahun itu berada di Singapura untuk mendapatkan rawatan dan kini tidak boleh berjalan.

Menurut pendakwa, Constancia Mugabe, yang mempunyai kunci rumah Mugabe membenarkan suspek lain, yang bertugas sebagai tukang cuci, memasuki rumah berkenaan ketika kecurian berlaku. — AFP

Berita Harian X