Jumaat, 25 Januari 2019 | 11:03pm
Gambar fail menunjukkan seorang ibu menangisi kematian anaknya, disyaki dijangkiti Ebola di Beni, Congo. -Foto Reuters

Ebola merebak ke kawasan pertempuran di Congo: WHO

GENEVA: Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (Congo) kini merebak ke selatan, kawasan dengan risiko tinggi keselamatan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wabak itu, terburuk di negara berkenaan, mengorbankan sejumlah 439 orang daripada 713 dipercayai dijangkiti penyakit itu.

Perjuangan menentang Ebola bergantung kepada pengesanan individu dijangkiti yang mungkin jatuh sakit sekali gus menyebabkan ia merebak lebih lanjut.

Namun wabak di sebuah rantau di Congo dengan pertempuran kerap menjadikannya sukar buat pekerja kesihatan bergerak dan memantau pesakit potensi serta menyebarkan mesej bagaimana mengelak dijangkiti.

Kebanyakan kes sejak awal tahun ini berlaku di zon kesihatan Katwa, di mana WHO berkata, pekerja Ebola berdepan ketidakpercayaan masyarakat dan kebanyakan penduduk yang jatuh sakit bukan dalam senarai individu disyaki.

“Wabak itu juga berlanjutan ke selatan ke zon kesihatan Kayina, kawasan berisiko tinggi keselamatan,” kata WHO dalam kenyataan lewat semalam. Ada lima kes di Kayina, terletak antara zon utama wabak dan bandar utama Goma, hampir dengan sempadan Rwanda. -Reuters

77 dibaca
Berita Harian X