Khamis, 24 Januari 2019 | 10:53pm

16 maut kemalangan lombong emas di Ghana

ACCRA (GHANA) : Seramai 16 orang maut dalam satu kemalangan di tapak melombong emas di utara Ghana, kata pegawai tempatan Khamis lalu, menyebabkan pihak berkuasa melancarkan siasatan.

Nahas terbabit berlaku di kawasan Talensi awal pagi semalam berhampiran tapak melombong yang dikendalikan Shanxi Mining Company Limited dari China.

“Jumlah kematian ialah 16 dan pengurus sebuah firma melombong tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Majlis keselamatan serantau turut hadir menyertai majlis keselamatan daerah dan kami akan bertemu komuniti setempat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung insiden ini,” kata ketua pemimpin tempatan, Christopher Boatbil.

Jurucakap Shanxi, Maxwell Wooma berkata, kesemua mangsa terdiri daripada pelombong haram dan bukan petugas syarikat berkenaan.

Ghana ialah pengeluar emas kedua terbesar di Afrika dan terbabit dalam mengeksport bahan itu bersama mineral lain serta minyak yang juga sumber utama ekonomi negara.

Industri berkenaan sebahagian besarnya dimonopoli syarikat antarabangsa namun kewujudan pelombong haram dikenali sebagai ‘galamsey’ di kalangan penduduk tempatan mencetuskan pelbagai masalah khususnya kemalangan.

Enam pelombong terbunuh April tahun lalu apabila bumbung sebuah terowong di lombong emas milik syarikat Amerika Syarikat di selatan negara ini runtuh.

Pada Julai 2017, sekurang-kurangnya 22 orang maut apabila sebuah lombong emas haram di timur Ghana runtuh. - AFP

102 dibaca
Berita Harian X