Jumaat, 9 November 2018 | 10:46am
Kanak-kanak yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Cameroon dibebaskan pada Rabu lalu. - Foto Reuters

Penculik kanak-kanak Cameroon beri amaran tidak ke sekolah

BAMENDA (CAMEROON): Kanak-kanak yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di barat Cameroon berkata mereka diberi amaran oleh penculik untuk tidak kembali ke sekolah, menyebabkan ibu bapa masing-masing bertindak mengeluarkan kesemuanya dari asrama.

Penculik berkenaan membebaskan kira-kira 80 kanak-kanak dan seorang pemandu di barat Cameroon Rabu lalu namun menahan pengetua dan seorang guru sebagai tebusan, dua hari selepas penculikan di sekolah berkenaan.

Kumpulan lelaki bersenjata itu menculik kesemua pelajar terbabit di Bamenda, bandar hijau di kawasan bukit barat Cameroon yang juga hab kepada negara bermasalah itu.

Pihak tentera dan paderi yang terbabit dalam rundingan pembebasan mendakwa ia dilakukan pemisah berbahasa Inggeris namun dinafikan jurucakap kumpulan berkenaan.

“Ia berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika kami sedang tidur. Kami mendengar bunyi tembakan dan orang menjerit sebelum pintu bilik dipecahkan. Mereka berpakaian hitam dan menyuruh kami keluar,” kata seorang pelajar berusia 13 tahun yang enggan dikenali.

Melarang kanak-kanak ke sekolah ialah taktik kegemaran puak pemisah yang mendakwa sekolah sering digunakan untuk menyebar propaganda kerajaan.

“Apabila kami dibebaskan, mereka mahu kami memberitahu sekolah lain untuk menghentikan operasi jadi tidak ada sesiapa akan ke sekolah,” kata pelajar itu lagi.

Kumpulan pemisah itu melaksanakan perintah berkurung dan menutup sekolah sebagai protes kepada kerajaan Biya yang mengutamakan bahasa Perancis dan membezakan minoriti berbahasa Inggeris. Kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu. - Reuters

244 dibaca
Berita Harian X