Isnin, 30 Julai 2018 | 10:14am
RAKYAT Zimbabwe keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya pertama sejak pemimpin kuku besi, Robert Mugabe disingkirkan tahun lalu. - Foto REUTERS

Pilihan raya pertama Zimbabwe tanpa Mugabe

HARARE: Rakyat Zimbabwe keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya pertama sejak pemimpin kuku besi, Robert Mugabe disingkirkan tahun lalu.

Pilihan raya bersejarah negara di selatan Afrika ini menemukan Presiden Emmerson Mnangagwa, bekas sekutu Mugabe dalam parti pemerintah ZANU-PF, dengan pemimpin parti Pergerakan Perubahan Demokratik (MDC) Nelson Chamisa.

Kajian yang dijalankan ke atas 2,400 responden baru-baru ini oleh agensi Afrobarometer meletakkan Mnangagwa pada 40 peratus dan Chamisa pada 37 peratus, dengan 20 peratus lagi belum membuat keputusan.

Mnangagwa, 75 yang menjanjikan permulaan baru buat Zimbabwe dituduh terbabit dalam keganasan pilihan raya dan penipuan di bawah Mugabe, menjemput pemerhati antarabangsa, termasuk pasukan dari Kesatuan Eropah (EU) yang diharamkan sebelum ini. EU dijangka akan memberikan laporan awal pada minggu ini.

Chamisa, 40, yang menunjukkan prestasi hebat sepanjang kempen berharap dapat mendorong penduduk muda untuk mengundi ke arah perubahan yang memanfaatkan mereka. - AFP

Berita Harian X