Khamis, 28 Disember 2017 | 11:53pm
JENERAL Constantino Chiwenga. - Foto EPA

Bekas ketua tentera Naib Presiden Zimbabwe

HARARE: Bekas komander tentera Zimbabwe, yang mengetuai rampasan menggulingkan pemerintahan 37 tahun Robert Mugabe, mengangkat sumpah hari ini sebagai seorang daripada dua Naib Presiden negara itu.

Memakai sut hitam, Jeneral Constantino Chiwenga, 61, mengangkat sumpah jawatan, berikrar taat setia kepada Zimbabwe serta patuh, mendukung dan mempertahankan perlembagaan.'

Pelantikan Chiwenga ke jawatan kedua tertinggi negara itu mengukuhkan lagi kuasa tentera dalam politik di negara selatan Afrika itu.

Presiden baharu, Emmerson Mnangagwa, berpuluh pegawai kerajaan, tentera, ketua polis serta pemimpin tradisi menghadiri upacara yang diadakan di laman kediaman rasmi presiden.

Chiwenga bersara daripada jawatan tentera minggu lalu, sebulan selepas tentera secara seketika mengambil alih kawalan Zimbabwe 15 November lalu, diikuti peletakan jawatan Mugabe enam hari kemudian.

Mnangagwa, yang dipecat sebagai naib presiden oleh Mugabe, November lalu, kemudian mengambil alih kepimpinan.

Chiwenga dan Kembo Mohadi, seorang ahli politik veteran dan menteri keselamatan yang sudah lama berkhidmat, dinamakan sebagai naib presiden parti pemerintah ZANU-PF.

Mohadi turut mengangkat sumpah hari ini. - AFP

17 dibaca
Berita Harian X