Jumaat, 24 November 2017 | 11:47am
EMMERSON Mnangagwa. - Foto EPA

Mnangagwa angkat sumpah Presiden Zimbabwe hari ini

HARARE: Timbalan Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa, dijangka mengangkat sumpah sebagai presiden hari ini, menandakan bab akhir drama politik yang menumbangkan penyandang jawatan itu, Robert Mugabe, selepas rampasan kuasa tentera.

Mnangagwa, salah seorang sekutu paling rapat Mugabe sehingga baru-baru ini, akan mengangkat sumpah di stadium sukan negara di pinggir Harare di hadapan ribuan penyokong, pembesar dan diplomat asing.

Mugabe, yang memerintah negara itu selama 37 tahun secara kuku besi, disingkirkan daripada jawatan apabila tentera campur tangan selepas beliau memecat Mnangagwa sebagai timbalannya.

Mugabe, 93, meletakkan isterinya, Grace sebagai pengganti tetapi tentera bertindak menggantung rancangan itu dan menaikkan Mnangagwa.

"Datang dan jadikan saksi sejarah dilakarkan, kenaikan bersejarah era baru dan negara lebih baik," menurut kenyataan daripada parti pemerintah, ZANU-PF, menggesa orang ramai menghadiri majlis itu.

Stesen televisyen menyatakan Mugabe mungkin hadir, tetapi tiada pengesahan rasmi mengenai perkara itu.

Bas disediakan untuk mengangkut penyokong ke stadium dengan kapasiti 60,000 orang itu awal hari ini.

Mnangagwa, 75, minggu ini berkata rakyat Zimbabwe menyaksikan 'demokrasi baru dan terbuka' walaupun pengkritik berkata, beliau adalah penyokong setia ZANU-PF yang memperoleh kuasa dalam rampasan kuasa tentera.

Beliau dikenali sebagai 'The Crocodile' kerana kekejamannya dan dituduh memantau pembunuhan beramai-ramai etnik oleh tentera pada 1980-an dan keganasan pilihan raya 2008 ketika Mugabe berisiko kalah. - AFP

30 dibaca
Berita Harian X