Khamis, 23 November 2017 | 7:21pm
BEKAS Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe.

Mugabe mahu mati di Zimbabwe

HARARE: Bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe diberi imuniti daripada pendakwaan dan jaminan keselamatan di tanah air sebagai sebahagian perjanjian menjurus pengundurannya, kata sumber rundingan hari ini.

Mugabe, yang memerintah Zimbabwe sejak merdeka pada 1980-an, meletak jawatan kelmarin selepas tentera merampas kuasa dan parti pemerintah menyingkirkannya.

Bekas Naib Presiden Emmerson Mnangagwa, dipecat Mugabe awal bulan ini, akan mengangkat sumpah jawatan presiden esok.

Sumber kerajaan berkata, Mugabe, 93, memberitahu pengantara, beliau mahu mati di Zimbabwe dan tiada rancangan hidup dalam buangan.

"Ia sesuatu yang amat emosi buatnya dan beliau menekankan mengenainya. Baginya, adalah penting beliau diberi jaminan keselamatan untuk hidup dalam negara, walaupun ia tidak menghalangnya daripada melakukan kunjungan ke luar negara," kata sumber berhubung butiran penyelesaian rundingan itu.

Peletakan jawatan Mugabe ketika Parlimen memulakan proses memecatnya, mencetuskan sambutan menggila di jalanan meraikan berita itu.

Kejatuhan pantas pemimpin tertua dunia selepas 37 tahun berkuasa, tercetus akibat pertelingkahan menggantikannya antara Mnangagwa dan isteri Mugabe, Grace.

"Presiden yang bakal berundur itu jelas menyedari kebencian umum terhadap isterinya, kemarahan dalam beberapa lingkungan mengenai tindak tanduknya dan pendekatan dalam politik ZANU-PF.

"Sehubungan itu, adalah penting untuk beliau mendapatkan jaminan, seluruh keluarganya termasuk isterinya selamat dan dilindungi," kata sumber kedua. -Reuters

Berita Harian X