Selasa, 21 November 2017 | 10:43pm
AHLI Parlimen berkumpul memulakan prosiding untuk mencabar Presiden Zimbabwe Robert Mugabe di Harare, Zimbabwe.- Foto Reuters

Parlimen Zimbabwe bahas pemecatan Mugabe

HARARE: Parlimen Zimbabwe hari ini mula membahaskan prosiding pemecatan Presiden Robert Mugabe, pemimpin tunggal negara itu sejak merdeka 37 tahun lalu.

Ketika pemimpin autokrat berusia 93 tahun itu berdepan tekanan hebat meletak jawatan, blok serantau selatan Afrika mengumumkan ia menghantar Presiden Angola dan Afrika Selatan ke sini bagi membincangkan krisis itu.

Pembuat dasar memulakan debat bersejarah penyingkiran itu sejurus selepas Naib Presiden disingkir Emmerson Mnangagwa, disebut-sebut menggantikan Mugabe, menuntut beliau meletak jawatan.

Speaker Parlimen Jacob Mubenda meluluskan sesi bersama di Dewan Perwakilan dan Senat untuk membahaskan usul menyingkirkan satu-satunya pemimpin Zimbabwe.

"Usul ini tidak dijangka dalam sejarah pasca kemerdekaan Zimbabwe," isytihar Mubenda.

Prosedur parlimen diperlukan untuk menyingkirkan Mugabe adalah panjang dan rumit.

Pembuat dasar memutuskan menangguhkan sidang sehingga jam 4.30 petang waktu tempatan dan memindahkannya ke kawasan lebih besar.

Ada bantahan tegang di luar parlimen ketika ratusan penunjuk perasaan daripada parti politik lawan menjerit supaya Mugabe berundur.

Aktivis menggantung poskad berwarna warni bersama tuntutan politik di barisan antara pokok di sebuah taman berhampiran Parlimen.

Pemimpin pembangkang Pergerakan Perubahan Demokratik Morgan Tsvangirai berkata antara sesi parlimen, partinya menyokong pemecatan presiden. -AFP

Berita Harian X