Ahad, 19 November 2017 | 12:54am
Orang ramai menyambut kenderaan Angkatan Pertahanan Zimbabwe semasa demonstrasi menuntut peletakan jawatan Zimbabwe. - Foto AFP

Parti ZANU-PF dijangka singkir Robert Mugabe, isteri

HARARE: Parti ZANU-PF akan mengadakan mesyuarat esok, bagi membincangkan langkah menyingkirkan Presiden Robert Mugabe dan melantik semula Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa, yang dipecat baru-baru ini.

Menurut sumber, jawatankuasa pusat parti itu dijadual bermesyuarat pada jam 10.30 pagi esok (waktu tempatan).

"Jawatankuasa itu juga dijangka menyingkirkan bakal pengganti pilihan Mugabe, 93, iaitu isterinya, Grace daripada jawatannya sebagai ketua Liga Wanita, ZANU-PF," kata sumber.

Pemerintahan Mugabe selama 37 tahun berakhir selepas pihak tentera bertindak merampas kuasa pada Rabu lalu, selain menahan presiden itu di kediamannya.

Sementara itu, beberapa kereta dilihat meninggalkan kediaman rasmi presiden di Harare, namun tidak dapat dipastikan sama ada Mugabe menaiki satu kenderaan itu.

Ketika ini, ribuan rakyat Zimbabwe sedang membanjiri jalan raya di sekitar Harare, sambil menyanyi dan menari, malah ada di antara mereka dilihat memeluk anggota tentera bagi meraikan kejatuhan presiden yang memerintah sejak 1980.

Mereka turut berarak menuju ke kediaman rasmi presiden berkenaan. - Reuters

12 dibaca
Berita Harian X