Isnin, 16 September 2019 | 10:00am
Ketua Pegawai Eksekutif SR Asia Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Syukri Ibhrim.

Jiwa besar pemilik jenama sabun Do'Zee

KUALA LUMPUR: Bermula dengan perasaan ingin tahu bagaimana terhasilnya sabun pencuci pelbagai guna ketika bekerja di sebuah kantin kilang, membuatkan anak jati dari Kedah ini nekad untuk memiliki kilang sabun sendiri.

Ditambah pula membesar dalam keadaan serba kekurangan dan menjadi satu-satunya anak lelaki daripada 11 adik beradik, menjadikan pemilik pengeluar produk sabun cecair, SR Asia Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Syukri Ibhrim, terus fokus mengejar ilmu perniagaan untuk membantu meringankan beban dua orang tuanya.


Datuk Mohd Syukri Ibhrim (tengah) bersama pekerja melihat produk sabun Do’Zee di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tamat sahaja Tingkatan Lima, berbekalkan wang RM20 hasil simpanannya, beliau meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur untuk menggali erti kehidupan dan mendapatkan pekerjaan.

Tanpa memilih kerja, tawaran menjadi pencuci pinggan di sebuah kantin kilang di Klang, Selangor diterima dengan hati gembira.

“Pada 1998, bermulalah kehidupan saya sebagai budak pencuci pinggan. Dari situ, saya mula belajar bagaimana menjaga kantin dan memasak.

“Ketika asyik membasuh pinggan, terdetik di hati, macam mana la buat sabun ni sebab saya lihat sabun ni permintaan sentiasa ada dan ia digunakan bukan sahaja di rumah tetapi untuk industri.

“Dari situ, hati saya terus tanam azam nak ada kilang sabun sendiri dan Alhamdulillah Allah SWT permudahkan jalannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

Mohd Syukri berkata, dengan pengalaman bekerja di kantin selama 10 tahun, beliau mendapat peluang membuka kantin sendiri pada 2008.

Bermodalkan duit simpanan yang ada dan hasil operasi kantin itu, Mohd Syukri terus mengorak langkah menceburi bidang perniagaan sabun dengan membuat sabun secara kecil-kecilan dan diedarkan kepada keluarga dan kenalan terdekat.


Ketua Pegawai Eksekutif SR Asia Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Syukri Ibhrim peraga produk sabun Do’Zee.

“Masa itu, formula yang saya dapat dari seorang kawan masih perlu diubah supaya dapat dijual di pasaran dan ia mula dipasarkan pada bulan keempat selepas tiga bulan menjalani program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Namun, ketika itu masih tiada pembeli dan syarikat beroperasi dalam kerugian untuk tujuh bulan berturut-turut dan menanggung hutang hampir RM2 juta. Saya terpaksa ajak rakan baik turut serta dan bantu dari segi pemasaran dan Alhamdulillah pada 2015 jualan terus meningkat dan kami berpindah ke kilang yang lebih luas di Puncak Alam ini,” katanya.

Ketika ini, beliau mampu menghela nafas lega apabila keringat selama ini membuahkan hasil selepas syarikat yang beroperasi dengan 10 mesin utama dan 30 kakitangan itu berjaya merekodkan jualan sehingga 70 ribu botol sebulan.

Malah, jenama sabun milik Bumiputera sepenuhnya ini mendapat kepercayaan usahawan lain apabila meraih kontrak untuk menjadi pengeluar kepada produk sabun mereka.

“Dengan pemasaran yang agresif di samping kerjasama bersama pengusaha perniagaan lain dan pengiktirafan sebagai syarikat Bumiputera pertama menghasilkan sabun halal, saya optimis produk Do’Zee mampu terjual 1 juta unit sebulan menjelang 2020,” katanya.

Mengulas harapan jangka panjangnya, Mohd Syukri berkata, dengan tagline Bersih, Suci, Wangi, beliau berharap jenama Do’Zee dimiliki oleh setiap isi rumah di Malaysia.

Ketika ini, SR Asia Resources menawarkan tujuh kategori produk membabitkan 36 jenis antaranya sabun cecair pakaian; penjagaan kenderaan; pelembut; pencuci pinggan; pencuci lantai, pencuci tangan dan pencuci untuk kegunaan industri.

Dengan pelbagai pilihan produk bermutu, SR Asia Resources turut membuka peluang perniagaan kepada mana-mana individu yang berminat untuk menjadi stokis dan ejen.

Bermodalkan kira-kira RM10 ribu, stokis atau ejen akan dilatih sepenuhnya bermula dengan aktiviti pemasaran, jualan dan selepas jualan.

“Dengan sijil halal yang kita ada, saya yakin kita mampu rekrut sekurang-sekurangnya satu ejen untuk setiap daerah,” katanya.

Profil

Nama: Datuk Mohd Syukri Ibhrim

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif SR Asia Resources

Perniagaan: Produk sabun cecair

Alamat: Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor

Berita Harian X