Ahad, 1 September 2019 | 2:39pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bergambar bersama Ikon Usahawan pada Majlis Pelancaran Minggu Usahawan Nasional 2019 oleh di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Khamis lalu. Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

MUN2019 raih potensi jualan RM30 juta

SERDANG: Acara Minggu Usahawan Nasional (MUN2019) yang berakhir hari ini berjaya mencatat potensi jualan sebanyak RM30 juta dengan 245 sesi padanan perniagaan menerusi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional setakat petang semalam.

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dalam satu kenyataan berkata, acara julung kali diadakan bermula 29 Ogos lalu, juga telah mengumpul jualan tunai melebihi angka RM1.5 juta.

Bertemakan ‘Usahawan Wira Ekonomi,’ MUN2019 yang dianjurkan MED turut bertujuan memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara serta terbukti mendapat sambutan dengan kehadiran hampir 45,000 pengunjung serta usahawan.

Selain itu, MED yang turut memberi tumpuan terhadap industri halal, mengadakan beberapa siri acara Pocket Talks dan Halal Lab yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Jabatan Standard Malaysia dan institusi pengajian tinggi tempatan.

“MED turut bekerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi program Siswapreneur yang bertujuan melahirkan usahawan dalam kalangan penuntut dan lulusan IPT dalam pelbagai bidang perniagaan seperti peruncitan, pertanian, agrikultur, teknologi kejuruteraan, teknologi komunikasi dan maklumat, industri kreatif dan multimedia, sukan dan sebagainya,” katanya.

Bazar Jualan Harga Patut Koperasi yang diterajui oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang juga agensi MED telah diuruskan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan mencatat jualan tunai RM6,700 menerusi penjualan barangan harian dan dapur pada harga 10 hingga 15 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Bazar yang disertai oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bersama 43 koperasi ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan harga terbaik sempena bulan kemerdekaan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. - BERNAMA

91 dibaca
Berita Harian X