Jumaat, 30 Ogos 2019 | 7:14pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, beramah mesra bersama Usahawan ketika Majlis Pelancaran Minggu Usahawan Nasional 2019 oleh di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia ( MAEPS), Serdang. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Program SDSI Nasional capai sasaran

SERDANG: Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional yang diadakan sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 berada dalam landasan kukuh untuk melepasi sasaran jualannya apabila mencatatkan potensi jualan sebanyak RM14.75 juta dan jualan tunai hampir RM200,000 bagi tempoh dua hari.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata walaupun ramai mengeluh mengenai keadaan ekonomi yang perlahan, program itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Sambutan yang diterima setakat ini amat baik dan di luar jangkaan. Saya lihat jualan dua hari ini sangat memberangsangkan dan hampir mencecah sasaran.

“Walaupun dilihat ramai mengeluh ekonomi tidak bergerak, namun apa yang dilihat hari ini, petunjuknya amat baik yang mana kita lihat orang mahu berbelanja dan paling penting mahu berusaha,” katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Ikon Usahawan Wanita 2019 di sini, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan potensi jualan sebanyak RM20 juta dan jualan tunai sebanyak RM500,000 selama empat hari penganjurannya bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Mengulas mengenai anugerah berkenaan, Mohd Redzuan berkata, lima ikon usahawan wanita dipilih berdasarkan penilaian kewangan dan bukan kewangan seperti pengurusan operasi, strategi perniagaan, kreativiti, inovasi dan pembangunan sumber manusia.

“Anugerah Ikon Usahawan Wanita 2019 ini diwujudkan bagi memberi pengiktirafan kepada usahawan wanita yang cemerlang dan meningkatkan motivasi dalam menghadapi cabaran di pasaran domestik, serantau dan antarabangsa.

“Anugerah ini juga memberi perangsang kepada usahawan wanita lain untuk terus berdaya saing, bukan hanya produk itu sendiri perlu diikuti tetapi cara mereka berfikir, cara mereka menguruskan perniagaan itu paling mustahak,” katanya.

Antara tarikan utama MUN 2019 adalah Persidangan Keusahawanan meliputi segmen wanita, industri halal dan industri kreatif dan digital (Yayasan KRU), Bazar Jualan Harga Patut oleh koperasi serta Bazar Selebriti yang dijayakan oleh Prima Valet, acara Larian Rakyat Run 2.0, Konsert Merdeka dan Pameran Keusahawanan yang merangkumi pelbagai sektor (pendidikan, aeroangkasa, automotif, maritim, pertanian, pembuatan, pembiayaan, F&B halal, farmaseutikal/kosmetik dan IR 4.0).

MUN 2019 juga melantik Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Faizal Ismail dan Farah Fauzana sebagai IKON MUN 2019 berdasarkan kejayaan mereka selaku usahawan dalam bidang masing-masing.

47 dibaca
Berita Harian X