Isnin, 19 Ogos 2019 | 5:14pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap ketika sesi taklimat media berkenaan Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 di Menara Kembar Bank Rakyat. - Foto Asyraf Hamzah

Program SDSI sasar potensi jualan RM20 juta

KUALA LUMPUR: Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional yang diadakan sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 menyasarkan potensi jualan sebanyak RM20 juta dan jualan tunai sebanyak RM500,000 selama empat hari penganjurannya bermula 29 Ogos ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pembangunan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negara.

“Keperluan ini bukan sekadar untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat tetapi juga strategi dan inisiatif untuk mendokong proses mengeluarkan negara daripada senarai pendapatan pertengahan.

“Justeru, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), keusahawanan dikenalpasti sebagai antara bidang keutamaan nasional menjelang Wawasan 2020,” katanya pada sidang media sempena MUN 2019 di sini, hari ini.

SDSI adalah antara tumpuan utama dalam MUN 2019 yang memberi fokus kepada usahawan SDSI dari seluruh negara merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraftangan serta kesihatan dan penjagaan diri.

Turut diadakan ialah sesi padanan perniagaan serta siri ‘pocket talk keusahawanan’ oleh usahawan cemerlang.

Mohd Redzuan berkata, MUN 2019 bertemakan ‘Usahawan Wira Ekonomi’ dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dan seramai 3,000 usahawan pelbagai sektor dalam pelbagai aktiviti keusahawanan.

“MUN 2019 adalah inisiatif baharu kementerian untuk mengintegrasikan pelbagai aktiviti dan program keusahawanan merentasi kementerian, agensi Kerajaan serta pihak swasta dalam satu platform atau ekosistem yang menyeluruh.

“Di samping itu, penganjuran MUN 2019 ini juga akan bertindak sebagai pemangkin serta roadmap ke arah mencapai aspirasi Negara Keusahawanan Unggul 2030,” katanya.

Antara tarikan utama MUN 2019 adalah Persidangan Keusahawanan meliputi segmen wanita, industri halal dan industri kreatif dan digital (Yayasan KRU), Bazar Jualan Harga Patut oleh koperasi serta Bazar Selebriti yang dijayakan oleh Prima Valet, acara Larian Rakyat Run 2.0, Konsert Merdeka dan Pameran Keusahawanan yang merangkumi pelbagai sektor (pendidikan, aeroangkasa, automotif, maritim, pertanian, pembuatan, pembiayaan, F&B halal, farmaseutikal/kosmetik dan IR 4.0).

MUN 2019 juga melantik Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Faizal Ismail dan Farah Fauzana sebagai IKON MUN 2019 berdasarkan kejayaan mereka selaku usahawan dalam bidang masing-masing.

Acara ini diadakan pada pada 29 Ogos hingga 1 September 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Penganjuran yang julung kalinya oleh Kementerian Pembangunan Usahawan ini adalah antara program susulan Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pada 11 Julai lalu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

115 dibaca
Berita Harian X