Khamis, 8 Ogos 2019 | 7:28pm
KETUA Pegawai Eksekutif Absolut Event & Management, Nurali Nadzwan

Absolut Food Festival JB optimis raih jualan RM2.55j

KUALA LUMPUR: Absolut Event & Management, menyasarkan transaksi jualan sekurang-kurangnya RM2.55 juta menerusi penganjuran Absolut Food Festival 2019 di pekarangan Pusat Beli-belah Angsana Johor Bahru, Johor bermula 6 sehingga 8 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurali Nadzwan, berkata berdasarkan transaksi jualan di Absolut Food Festival yang diadakan di Shah Alam sebelum ini, setiap vendor mampu meraih jualan sehingga RM15 ribu bagi festival tiga hari itu.

Beliau berkata, acara berkenaan yang menghimpunkan 170 usahawan belia itu mampu menjadi platform tepat untuk mereka mengetengahkan produk secara meluas dan terus ke pengguna.

Katanya, acara yang turut mendapat kerjasama Uda Property itu dalam masa sama bagi menggalakkan pengunjung untuk membeli rumah mampu milik yang ditawarkan oleh syarikat hartanah berkenaan.

“Festival makanan yang menggabungkan pengusaha makanan dari Malaysia dan Singapura ini adalah acara kedua selepas festival makanan yang sama diadakan pada April di Shah Alam.

“Melihat kepada trend rakyat ketika ini yang sukakan makanan viral, kami yakin festival makanan ini akan dibanjiri sehingga 250,000 pengunjung sama seperti di Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Absolut Food Festival 2019 JB ketika ini sudah merekodkan sebanyak 100 penyertaan dan sedang mencari 50 lagi usahawan berpotensi untuk bersama-sama berkampung di Johor Bahru bagi mengetengahkan produk mereka.

“Harga bagi setiap tapak antara RM1,400 hingga RM4,500 bergantung kepada lokasi dan jenis booth.

“Bagi penganjuran kali ini, kita dapat bawa 40 peratus vendor lama untuk turun padang di Johor Bahru nanti dan ini menyaksikan jenama Absolut sudah diyakini dan dipercayai dalam kalangan usahawan belia,” katanya.

Mengulas keunikan penganjuran Absolut Food Festival pada kali ini, Nurali, berkata daripada 170 vendor makanan, 20 daripadanya terdiri daripada jenama makanan yang tular antaranya Fam Fries, 3 Budak Gemok, Otak King, Ayo Fried Chicken dan Nachoslah, malah tidak ketinggalan Absolut Chocolat antara menu yang menjadi tumpuan ramai pada acara yang berlangsung selama tiga hari itu.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati lebih 150 jenis makanan dan minuman sambil menyaksikan persembahan bersama selebriti tempatan dan Singapura.

Berkonsepkan ‘Retro’, Absolut Event & Management yang bermula pada 10 pagi sehingga 10 malam itu menyediakan ruang bergambar sebagai kenangan.

Maklumat lanjut, layari Instagram: @absolutfoodfest atau Facebook: Absolut Food Festival 2019.

171 dibaca
Berita Harian X