Isnin, 5 Ogos 2019 | 9:30am
Mohamed Shukri memperkenalkan produk Nestle halal yang diproses ketika ditemui di Bukit Angkat, Kajang. - NSTP/Azhar Ramli

Omcorp sasar jadi pengeluar makanan halal global

KAJANG: Banyak cabaran perlu ditempuh dalam menguruskan sesebuah perniagaan, apatah lagi apabila diberi tanggungjawab meneruskan perniagaan yang sedang dilanda masalah kewangan.

Tidak semua sanggup tampil ke depan untuk berdepan cabaran sedemikian, namun ia disahut oleh Mohamed Shukri Mohamed Zain, 54, bagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Omcorp Sdn Bhd sejak pertengahan 2016.

Ketika itu, Omcorp, syarikat pengeluar daging proses premium halal tempatan, sedang mengalami kerugian susulan daripada kegagalan usaha sama (JV) yang dibuat dengan rakan asing dari Jepun.

Berkongsi sedikit latar belakang mengenai Omcorp, Shukri berkata, syarikat itu diasaskan oleh kakaknya, Mazidah Mohamed Zain, 55, dan arwah abang iparnya, Abang Omar Abang Ali pada 1994.

Bekas graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Winthrop di South Carolina, Amerika Syarikat itu berkata, pada awal penubuhan, Omcorp menghasilkan produk daging proses dan pernah mempunyai kedai sendiri di bawah jenama Omar Deli.

“Pada masa itu, Omcorp agak terkehadapan dalam pasaran apabila melakukan sesuatu yang masih belum dibuat oleh sesiapa ketika itu dengan memperkenalkan produk berasaskan daging proses, yang jika sekarang sudah banyak produk seumpama ini boleh didapati seperti di kedai makanan segera Subway dan 1901.

“Selain itu, syarikat juga pernah membekalkan makanan untuk syarikat penerbangan, Malaysia Airlines dan AirAsia. Pada 2010, syarikat mengadakan usaha sama dengan sebuah syarikat dari Jepun untuk mengeluarkan produk sosej sedia dimakan di bawah jenama Omakane.

“Namun, produk ini tidak mendapat sambutan menggalakkan di Malaysia menyebabkan syarikat mengalami kerugian,” katanya kepada BH di sini, baru-baru ini.

Lebih menambahkan kedukaan buat syarikat ialah apabila salah seorang pengasasnya, Abang Omar meninggal dunia pada 2011 yang menyebabkan kakaknya terpaksa menguruskan perniagaan yang diusahakan bersama suaminya itu secara bersendirian.

“Namun, kakak saya tetap cekal dan gigih untuk meneruskan perniagaan usaha sama ini seorang diri sehinggalah akhirnya beliau terpaksa akur yang ia sudah tidak boleh diteruskan dan berjumpa dengan saya pada 2016.

“Kakak meminta bantuan untuk membawa Omcorp keluar daripada masalah sedang dihadapi yang mana katanya, Omcorp memerlukan hala tuju baharu dan saya setuju untuk membantu beliau.

“Kebetulan, Nestle Malaysia ketika itu sedang mencari syarikat tempatan untuk dijadikan vendor pembekal ramuan kering yang halal dan secara kebetulan kami sememangnya mempunyai peralatan yang diperlukan untuk penghasilan produk sedemikian," katanya.

“Sebenarnya, arwah abang ipar saya memang berminat untuk memasuki pasaran ramuan kering, cuma tidak kesampaian memandangkan syarikat sedang sibuk dengan perniagaan lain.

“Jadi, dipendekkan cerita, pada pertengahan 2016, kami mengadakan pertemuan dengan Nestle dan mereka memberi kami tempoh percubaan selama enam bulan,” katanya menambah yang syarikat juga memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan syarikat Jepun terbabit pada awal 2017, susulan masalah kewangan, di samping mahu memberi tumpuan sepenuhnya dengan kerjasama Nestle dalam program pembangunan vendornya (VDP).

Pada awal kerjasama dengan gergasi pengeluar makanan dunia itu, Shukri berkata, pihaknya banyak diberi tunjuk ajar, termasuk perlu menaik taraf mesin, peralatan dan paling penting, mengubah cara proses kerja memandangkan Nestle amat menitikberatkan soal kebersihan.

“Biarpun ketika itu kami sudah mempunyai lesen dan sijil perakuan berkaitan, namun kami terpaksa mengubahsuai sepenuhnya kilang kami bagi memenuhi syarat ditetapkan Nestle.

“Syarikat berbelanja hampir RM500,000 bagi ubah suai berkenaan. Begitu ketat prosedur penilaian kebersihan mereka sehinggakan kandungan mikrobakteria pun diambilkira dengan teliti,” katanya.

Menurut Shukri, segala pengorbanan itu ternyata membuahkan hasil apabila Omcorp berjaya lulus dalam tempoh percubaan itu dan terus diberikan kontrak penuh selama setahun bermula 2017.

“Kini, kami sudah memasuki tahun ketiga menjadi vendor kepada Nestle, setakat ini sudah membekalkan ramuan kering iaitu serbuk ayam, lemak ayam, serbuk daging lembu serta lemak daging lembu dan sudah membekalkan hampir 100 tan produk kepada Nestle,” katanya.

Ditanya mengenai apakah cabaran utama yang sedang dihadapi Omcorp, Shukri berkata, kesukaran mendapatkan pembiayaan dan dana daripada institusi kewangan serta agensi kerajaan adalah masalah dihadapi pihaknya ketika ini.

“Biarpun sudah menjadi vendor Nestle, namun kami masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan, termasuk daripada agensi kerajaan kerana mereka masih melihat kepada rekod lampau syarikat.

“Omcorp sedang dalam proses dan telah memohon pembiayaan atau geran dari beberapa institusi kewangan serta badan kerajaan. Kami merayu pihak kerajaan supaya dapat membuka pintu dan permudahkan bantuan kepada usahawan tempatan,” katanya.

Mengorak langkah ke hadapan, Omcorp merancang memulakan kembali operasi perniagaan daging proses dan makanan sedia dimakan pada tahun depan memandangkan potensi pasaran yang besar untuk kedua-duanya.

“Perkara ini akan dilaksanakan seawal tahun depan selepas syarikat berjaya mendapat kelulusan Agensi Makanan Singapura (SFA) yang membolehkan Omcorp untuk mengeksport produk ramuan keringnya kepada kilang Nestle yang lain di luar negara.

“Kami juga menyasarkan peningkatan hampir tiga kali ganda jualan pada tahun depan, iaitu sebanyak RM15 juta berbanding RM5 juta tahun ini yang kebanyakannya disumbangkan oleh eksport produk keluaran kami untuk syarikat Nestle di Singapura dan Eropah.

“Kami sudah memohon sijil dan permit daripada SFA sejak empat bulan lalu dan berharap akan mendapat kelulusan agensi ini sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Info OMCORP Sdn Bhd

• Ditubuhkan pada 13 Oktober 1994

• Aktiviti perniagaan utama ialah pengeluar daging proses premium halal tempatan

• Syarikat memasarkan produk di bawah jenama Omar Deli

Berita Harian X