Khamis, 9 Mei 2019 | 10:21pm
PRESIDEN BPW, Datuk Seri Rozaini Nawawi.

BPW komited bantu usahawan wanita tembusi pasaran global

KUALA LUMPUR: Persatuan Wanita Profesional dan Perniagaan (BPW) Malaysia cawangan Putrajaya komited untuk membantu usahawan wanita meneroka peluang perniagaan di peringkat tempatan dan luar negara.

Presidennya, Datuk Seri Rozaini Nawawi, berkata persatuan yang mula aktif sejak Oktober lalu itu yakin platform pembangunan usahawan di bawah persatuan itu mampu membantu usahawan tempatan mencipta jaringan perniagaan hingga ke luar negara.

“Misi BPW adalah kesama-rataan antara golongan wanita dan lelaki dalam bidang kuasa pembuat keputusan seperti mengambil tanggungjawab dalam aspek ekonomi, politik dan kemasyarakatan.

“Pada masa sama, BPW akan sentiasa berfikir dan bertindak di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa menerusi pembelajaran sepanjang hayat, membabitkan diri dalam jaringan perhubungan dan konsep mentor yang lebih berpengalaman.

“Selain itu, kami juga mahu membentuk sikap profesionalisme, perniagaan dan kepimpinan dalam kalangan wanita dengan menganjurkan pelbagai program khusus untuk memberi pendedahan dan peluang kepada usahawan tempatan,” katanya kepada media selepas menganjurkan pertunjukan fesyen anjuran BPW Putrajaya di sini, baru-baru ini.

BPW ditubuhkan oleh Dr Lena Medesin Philips di Geneva, Switzerland pada 1930 yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat dan mempunyai perwakilan tetap di dalam United Nations Economic and Social Council (ECOSOC).

Tujuan ia ditubuhkan bagi memacu golongan wanita supaya dapat bersaing dan berkembang dalam bidang perniagaan, ekonomi dan profesional melalui jaringan perhubungan global.

BPW kini dianggotai pelbagai golongan wanita sama ada pemimpin, usahawan, pemilik perniagaan, eksekutif, profesional dan wanita muda berkerjaya di lima benua meliputi lebih 100 negara.

Di Malaysia, BPW ditubuhkan sejak lima tahun lalu dan cawangan Putrajaya diluluskan pada peringkat antarabangsa sempena persidangan di Bangkok, Thailand, pada Oktober lalu.

Selain Putrajaya yang memiliki 35 ahli, BPW turut memiliki dua cawangan lain iaitu Kuala Lumpur dan Damansara dengan jumlah keseluruhan melebihi 100 ahli.

Mengulas lanjut, Rozaini berkata, manfaat yang diperolehi ahli BPW amat berbaloi menerusi pembangunan kepimpinan dengan penganjuran seminar dan bengkel kepimpinan.

“Penyertaan dalam mesyuarat United Nation (UN) akan membolehkan ahli-ahli BPW mengikuti perkembangan isu dan melobi isu di peringkat nasional bagi pembangunan wanita di negara masing-masing.

“Malah sumber antarabangsa menerusi laman sesawang BPW menyediakan pelbagai informasi berkaitan program dan aktiviti di seluruh dunia sekali gus mencipta peluang kepada usawahan tempatan

“BPW juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan di seluruh dunia bagi melaksanakan program berkaitan pembangunan kapasiti wanita dalam perniagaan dan kepimpinan,” katanya.

200 dibaca
Berita Harian X