Ahad, 17 March 2019 | 6:44pm
PEMILIK Base Camp Adventure, Sharif Ab Rahman.

Tidak gentar saingi jenama antarabangsa

Bersaing dengan jenama antarabangsa dalam menjual barangan sukan lasak bukan mudah kepada usahawan tempatan, apatah lagi jenama luar mempunyai rangkaian kedai yang lengkap.

Selain itu, penjualan barangan sukan lasak dalam talian juga menjadi cabaran dan saingan. Tambahan pula kadangkala harga jualan dalam talian jauh lebih murah.

Bagi Sharif Ab Rahman, 33, walaupun berdepan cabaran dan saingan sebegitu, ia bukanlah halangan kepada dirinya untuk terus mengembangkan perniagaan barangan sukan.

Base Camp Adventure, yang ditubuhkannya pada 2013 bersama rakan kongsi Shaheir Sabaruddin dengan perkongsian modal RM100,000 kini sudah mempunyai tiga cawangan.

Perancangan awal Sharif menjadikan Base Camp sebagai jenama barangan sukan lasak tempatan kini sudah terbukti.

“Base Camp Adventure kini mempunyai tiga cawangan di Shah Alam, Melaka dan Terengganu. Cabaran sebenarnya adalah bagaimana kita usahawan tempatan nak bersaing dengan jenama luar yang sudah lama bertapak.


SHARIF menunjukkan barangan yang dijual di kedainya.

“Terutama dari segi harga, ini kerana mereka mempunyai kilang dan jenama sendiri, lantaran itu mudah bagi mereka untuk mengawal harga.

“Berbanding dengan kita, ia jauh berbeza. Tapi saya percaya sasaran pelanggan itu pelbagai dan sehingga hari ini pelanggan Base Camp Adventure masih setia dan bersama dengan kami,” katanya.

Tidak hanya sekadar menumpukan kepada jualan barangan sukan lasak semata-mata, Sharif juga menjadi pengedar utama kepada dua barangan sukan lasak iaitu kayak dan tali teufelberger (tali untuk aktiviti lasak).

Katanya, dia menjadi pengedar utama kepada Cool Kayak, jenama dari China di Malaysia selain tali teufelberger.

“Kita tidak boleh tumpu kepada jualan runcit semata-mata, perlu melangkah setapak lagi. Lantaran itu saya berjaya mendapatkan hak pengedaran kepada dua barangan itu.

“Kelebihannya adalah saya kini boleh meletakkan jenama sendiri kepada kayak, selain boleh mereka bentuk kayak mengikut kehendak pelanggan.


SHARIF merupakan pengedar utama kepada dua barangan sukan lasak iaitu kayak dan tali teufelberger.

“Saya sentiasa mencari benda baharu, sebab saya percaya akan ada orang yang akan bersaing dan membuat produk sama. Sebab itu kita kena laju.

“Perancangan saya tahun ini untuk menambahkan lagi jenama dan hak pengedaran di Malaysia dan negara jiran,” katanya.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam perniagaan, Sharif berkata, usaha ini berlaku secara tidak sengaja. Ketika itu beliau masih belajar.

Bukan mudah bagi beliau mengecapi kejayaan, kesusahan lalu membuatkannya cekal meneruskan kehidupan dalam dunia perniagaan.

Sharif pernah dihalau dari rumah sewanya, dimarahi rakan-rakan, selain terpaksa bersengkang mata demi memastikan perniagaan berasaskan barangan aktiviti lasak berjaya.

Katanya, ketika awal perniagaannya, selepas habis pengajian dia bekerja sebagai jurutera bagi mencari pengalaman dan wang sampingan bagi membesarkan lagi perniagaannya itu.


SHARIF menunjukkan barangan yang dijual di kedainya.

Namun sekali lagi Sharif diuji dari segi fizikal dan mental. Ini kerana selepas habis kerja pada waktu siang, sebelah malamnya pula dia meneruskan perniagaan, waktu tidur terhad antara tiga hingga empat jam setiap hari.

“Kadang-kadang sebelum sampai rumah, sudah ada pelanggan hantar pesanan dan telefon cakap tunggu saya. Memang kelam kabut masa itu dengan kerja, perniagaan lagi, hingga tak cukup tangan nak uruskan.

“Tidur pun terganggu. Pergi kerja saya bawa beg besar isi barangan yang dipesan pelanggan, naik motosikal pergi pejabat pos, hantar barang sebelum ke tempat kerja.

“Balik kerja pula singgah kedai borong beli barang bawa balik. Penat itu tak boleh cakap tapi sebab niat hendak kembangkan perniagaan, saya anggap ini cabaran yang perlu ditempuhi," katanya.

INFO

* Sharif Ab Rahman

* Graduan Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

* Bermula daripada berniaga di rumah sewa yang didiami 10 rakan

* Pada 2013, menubuhkan Base Camp Adventure dengan perkongsian modal RM100,000 bersama pendaki Gunung Everest, Shaheir Sabaruddin

* Rancang jadikan Base Camp sebagai jenama barangan sukan lasak tempatan

* Berkunjung ke China untuk dapatkan bekalan barangan sukan lasak bermutu pada harga berpatutan

Berita Harian X